ATM Tidak Akan Berkompromi Dengan Pegawai Terlibat Seludup PATI
- oleh Mohd Indera
- 4 tahuns lalu
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit dengan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pemerdagangan manusia.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata pihaknya sedang giat mengesan pegawai dan anggotanya yang disyaki menjadi tali barut dalam kesalahan serius itu.
Justeru, siasatan dalaman kini sedang dijalankan dan ATM memberi jaminan mereka yang terbabit akan dapat dikesan.
“Mana yang sudah kena tangkap (ditahan) terserah kepada polis untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang awam. Mana-mana yang mungkin masih terbabit, kami akan cari dan tentukan mereka dapat dikesan,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Pos Gabungan ATM dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Kem Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Biawak, di sini, hari ini.
Affendi turut memberi jaminan, mereka yang didapati melakukan kegiatan yang mengancam kedaulatan negara itu akan menerima tindakan sewajarnya.
“Saya tidak akan memberitahu apa tindakan yang dikenakan terhadap mereka, tetapi saya jamin ia pembalasan yang setimpal,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan, polis mengenal pasti puluhan pegawai dan anggota polis serta ATM bersekongkol dengan sindiket penyeludupan PATI.
Terdahulu, Affendi meninjau kawasan operasi anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di lokasi lorong tikus sekitar Biawak.
Sepanjang Ops Benteng dilaksanakan, sebanyak 49 lokasi laluan tikus baharu dikesan di seluruh Sarawak.
“Kawalan operasi ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan Ops Benteng yang diletakkan di bawah koordinasi ATM melalui penubuhan National Task Force.
“Operasi ini dilaksanakan bagi mengawal ketat sempadan secara bersepadu bersama agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang lain bagi menangani jenayah rentas sempadan terutamanya menyekat pencerobohan PATI selain mengekang penularan pandemik COVID-19 yang mungkin dibawa oleh pendatang itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata 10 lagi pos kawalan sempadan akan dibina di Sarawak bagi meningkatkan lagi kemampuan mengawasi pencerobohan di sempadan.
BACA : Anggota PDRM, ATM Jadi “Tali Barut” Bawa Masuk PATI Sudah Dikenal Pasti -KPN
Foto : Markas Angkatan Tentera Malaysia