Ikuti Kami:

Athierah Pertaruhkan Single ‘Berdiri’ Sentuhan Ajai

Athierah Pertaruhkan Single ‘Berdiri’ Sentuhan Ajai

Penyanyi baharu, Athierah, mengorak langkah berani dalam industri muzik tanah air dengan mempertaruhkan single sulungnya berjudul Berdiri, sebuah karya yang mendapat sentuhan daripada komposer dan penerbit tersohor, Ajai.

Lagu terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) ini membawa mesej mendalam mengenai kekuatan diri, keberanian untuk bangkit, serta semangat kental dalam mengharungi pelbagai cabaran kehidupan.

Athierah, atau nama sebenarnya Nor Athierah Aqielah Nor Azman, 22, berkongsi bahawa naskhah tersebut mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan pasang surut perjalanan peribadinya sebelum bergelar anak seni.

“Bagi saya, lagu Berdiri sangat istimewa sebab mesej yang dibawa memang dekat dengan diri saya. Sebaik sahaja mendengar melodi dan keseluruhan susunan muzik lagu ini buat pertama kali, saya terus rasa bersemangat dan yakin ia mempunyai aura yang boleh sampai ke hati pendengar,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai peluang bekerjasama dengan Ajai, anak kelahiran Kuala Lumpur ini menyifatkannya sebagai satu penghormatan dan pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang kariernya.

Jelasnya, ketelitian Ajai sepanjang proses rakaman banyak mengajar beliau tentang erti sebenar penyampaian sesebuah lagu, terutamanya daripada aspek penghayatan emosi.

“Bekerja dengan Uncle Ajai memang satu pengalaman yang saya akan ingat sampai bila-bila. Beliau sangat teliti, hinggakan perkara kecil pun diberi perhatian bagi memastikan hasil akhirnya benar-benar memberi kesan.

“Dari situ saya belajar bahawa menyanyi bukan sekadar tentang vokal, tetapi juga tentang rasa dan jiwa,” ujarnya yang mula aktif dalam bidang seni sejak kecil.

Selain memiliki bakat dalam bidang suara, Athierah kini sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Menurutnya, ilmu yang ditimba dalam dunia lakonan dan pementasan banyak membantu meningkatkan keyakinan diri, ekspresi emosi, serta cara mengendalikan diri ketika beraksi di atas pentas.

Sedar akan landskap industri muzik yang semakin kompetitif, penuntut ASWARA ini meletakkan sasaran untuk terus belajar, mencari identiti sendiri, serta tidak mahu mengehadkan kemampuannya kepada satu genre muzik sahaja.

“Saya berharap dapat terus menghasilkan lebih banyak lagu selepas ini dan cuba pelbagai genre supaya saya boleh berkembang sebagai seorang artis,” katanya lagi.

Single Berdiri kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama, manakala video muzik rasmi lagu berkenaan sudah boleh ditonton menerusi saluran YouTube Indigital Music.