Ikuti Kami:

Asyraf Khalid Sasar Lahir 500 Pemimpin Muda Melalui Madani Research Centre

Asyraf Khalid Sasar Lahir 500 Pemimpin Muda Melalui Madani Research Centre

Usahawan dan personaliti terkenal Muhammad Asyraf Khalid yang baru dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Madani Research Centre (MRC) berhasrat melahirkan 500 pemimpin muda berwibawa melalui program Madani Future Leaders 500, sebagai usaha memperkukuh agenda pembangunan kepimpinan belia negara.

Program nasional itu akan menghimpunkan 500 pelajar terbaik dari seluruh Malaysia untuk dibimbing oleh tokoh korporat, usahawan dan pemimpin industri, dengan matlamat melahirkan generasi penerus kepimpinan yang berilmu, berakhlak dan berjiwa besar.

Muhammad Asyraf Khalid berkata, pelantikan tersebut memberi peluang kepadanya untuk menumpukan usaha terhadap pembangunan modal insan dan kepimpinan generasi muda di bawah naungan MRC.

“Saya percaya setiap perubahan besar bermula dengan peluang. Generasi muda hari ini bukan kekurangan bakat, tetapi mereka perlukan ruang untuk berkembang dan dibimbing dengan nilai yang betul,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman pelantikannya baru-baru ini.


Dari kiri: Dr. Madhi Hasan (Pengerusi), Muhammad Asyraf Khalid (Pengarah), Mohd Azmi Mat Nayan (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Ahmad Lutfi (Ahli Lembaga Pengarah – Penasihat Kanan).

Menurut Asyraf, melalui Madani Future Leaders 500, peserta akan didedahkan kepada latihan berasaskan pengalaman sebenar termasuk kemahiran komunikasi, pemikiran strategik dan pembangunan sahsiah diri.

“Saya mahu melahirkan generasi pemimpin yang bukan sekadar bijak, tetapi juga berjiwa besar, berempati dan memahami tanggungjawab membina negara,” katanya.

Pelantikan Asyraf diumumkan oleh Pengerusi MRC, Dr. Madhi Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Azmi Mat Nayan, yang turut memberi tanggungjawab kepadanya untuk mengetuai bahagian Penjenamaan dan Penglibatan Awam.

Selain memperjuangkan pembangunan belia, Asyraf Khalid turut menzahirkan komitmen terhadap hak dan penerimaan kanak-kanak berkeperluan khas, termasuk penghidap autisme dan ADHD, melalui Inisiatif Madani untuk Kanak-Kanak Keperluan Khas di bawah MRC.

“Masyarakat Madani yang sejati ialah masyarakat yang menyantuni semua golongan, termasuk anak-anak istimewa. Mereka bukan sahaja perlu diterima, tetapi diraikan sebagai sebahagian daripada kekuatan dan warna kemanusiaan negara,” katanya.

Jelasnya, inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran awam, penambahbaikan dasar kerajaan serta pembangunan komuniti sokongan bagi memastikan kanak-kanak berkeperluan khas diterima dalam sistem pendidikan, pekerjaan dan kehidupan seharian.

“Setiap anak mempunyai peluang membina masa depan, tidak kira siapa mereka. Tugas kita adalah memastikan peluang itu benar-benar wujud,” katanya lagi.

Madani Research Centre (MRC) merupakan sebuah badan penyelidikan dan dasar yang menyokong pelaksanaan gagasan Malaysia Madani, dengan fokus kepada pembangunan masyarakat, komunikasi nilai nasional serta pemerkasaan belia dan komuniti inklusif.

Komen
Loading...