ASUS Mengumumkan Jentera Gaming Dengan Cip AMD Ryzen 4000 Di Malaysia
- oleh Mohd Indera
- 5 tahuns lalu
ASUS Malaysia bersama-sama AMD hari ini telah mengumumkan barisan laptop dan dekstop gaming dengan cip AMD Ryzen 4000 yang terbaharu untuk pasaran tempatan.
Produk yang diumumkan adalah meliputi dari ROG Zephyrus G15, ROG Strix GA35 & GA15, ASUS TUF Gaming A15 & A17, ASUS VivoBook S14 (M433) dan ROG Zephyrus G15.
Merupakan laptop premium ROG dari ASUS, ia hadir dengan panel 15.6 inci IPS dengan kadar segar semula 144Hz. Laptop dijana oleh cip AMD Ryzen 7-4800HS dan kad grafik GTX 1660 Ti Max-Q 6GB.
Bahagian papan kekunci mempunyai lampu bercahaya putih dan tiada RGB. Untuk RAM, ia menyertakan kapasiti 8GB dengan kelajuan 3200MHz DDR4. Storan pula sebesar 1TB PCIe NVMe.
Antara fungsi menarik laptop adalah rekaan nipis, dan juga bahan binaan premium. Ia dijual pada harga RM5,299 dan boleh didapati bermula hari ini. Untuk setiap pembelian, pembeli layak menerima beg galas percuma ROG.
ROG Strix GA35 & GA15 Desktop
Kedua-duanya merupakan penawaran ASUS untuk kategori desktop gaming. Perbezaannya adalah GA35 adalah model lebih premium dengan fungsi yang lebih banyak manakala GA15 pula adalah model lebih mampu milik.
Untuk GA15, ia hadir dengan pilihan cip Ryzen 5-3600X sehingga Ryzen 7-3800X. Kad grafik pula terdiri daripada GTX 1650 sehingga RTX 2060. Harga yang dijual adalah bermula dari RM4,299.
GA35 pula menawarkan cip lebih berkuasa bermula dari Ryzen 7-3800X sehingga Ryzen 9-3900X. Manakala kad grafik pula ditawarkan sehingga RTX 2080 Ti. Harga jualan GA35 adalah bermula RM9,999. Kedua-dua model boleh didapati bermula hari ini.
ASUS TUF Gaming A15 & A17
ASUS TUF sememangnya popular dengan penawaran laptop gaming mampu milik. Untuk kali ini, cip pemprosesan Ryzen siri 4000 hadir dalam model A15 dan A17 yang terbaharu.
Model A15 merupakan laptop dengan paparan 15.6 inci manakala A17 pula mempunyai paparan 17.3 inci. Kesemua model hadir dengan panel 144Hz IPS Full HD dan turut dimuatkan papan kekunci RGB.
Pilihan CPU adalah bermula dari AMD Ryzen 5-4600H sehingga Ryzen 9-4900H sementara kad grafik pula GTX 1650 4GB sehingga RTX 2060 6GB. RAM pula adalah sehingga 16GB dengan kelajuan 3200MHz dan storan dalaman sehingga 1TB SSD NVMe.
Untuk A15 dan A17, harga jualan adalah bermula dari RM3,499 untuk model asas dan boleh mencapai RM5,699 untuk model dengan RTX 2060.
ASUS VivoBook S14
Jika pengguna tidak mahukan fungsi dan ciri-ciri gaming serta hanya perlukan laptop yang lebih ringkas, ASUS sudah sedia menawarkan model VivoBook. Untuk VivoBook kali ini, ia hadir dengan cip Ryzen 4000 yang terbaharu.
Terdapat 2 pilihan iaitu pengguna boleh memilih cip Ryzen 5 4500U atau Ryzen 7 4700U. Paparan berukuran 14 inci dengan resolusi Full HD IPS. Untuk grafik, ia didatangkan dengan grafik AMD Radeon terbina.
RAM pula dibekalkan dengan 8GB manakala storan dalaman adalah berasaskan M.2 PCIe NVMe SSD 512GB.
Laptop hadir dengan rekaan warna yang terang dan juga ringan. Untuk model asas Ryzen 5, ia dijual pada harga RM2,899 manakala Ryzen 7 pula pada harga RM3,199.