Ikuti Kami:

ASUS Lancar Produk Tahan Lasak – ExpertBook PM3 & ExpertCenter P500SV

ASUS Lancar Produk Tahan Lasak – ExpertBook PM3 & ExpertCenter P500SV

ASUS Malaysia mengukuhkan lagi kedudukannya dalam pasaran perniagaan dengan pelancaran dua produk baharu tahan lasak, iaitu komputer riba ExpertBook PM3 Series dan desktop ExpertCenter P500SV.

Kedua-dua peranti ini menampilkan gabungan ketahanan bertaraf tentera, prestasi kecerdasan buatan (AI) serta ciri keselamatan yang dipercayai, menjadikannya pilihan ideal untuk syarikat, profesional dan sektor kerajaan di Malaysia.

ASUS menegaskan fokus utama siri baharu ini ialah ketahanan ekstrem. ExpertBook PM3 dan ExpertCenter P500SV telah melepasi 157 ujian ASUS Superior Durability Tests yang meliputi tekanan panel, tumpahan cecair pada papan kekunci, ketahanan engsel, rintangan port serta ujian jatuh.

Ia turut melepasi standard ketenteraan MIL-STD-810H dengan 28 ujian termasuk kejutan suhu dari -51°C hingga 71°C, getaran, kelembapan, habuk, malah simulasi letupan atmosfera.

ExpertBook PM3 Series, yang hadir dalam model 14 inci (PM3406) dan 16 inci (PM3606), dikuasakan sehingga AMD Ryzen™ AI 7 dengan prestasi AI mencecah 66 TOPS.

Berat bermula 1.36kg dengan bateri 70Wh, ia menawarkan mobiliti tanpa mengorbankan ketahanan. Ciri AI ExpertMeet pula memudahkan kolaborasi dengan terjemahan masa nyata, ringkasan mesyuarat automatik dan penapisan bunyi.

Sementara itu, ExpertCenter P500SV tampil sebagai desktop padat 8.6L dengan kuasa sehingga Intel® Core™ i7, sokongan memori DDR5 64GB dan GPU diskret pilihan.

Dilengkapi sistem penyejukan paip haba tembaga, ia mampu beroperasi dengan senyap pada hanya 30.8 dB, sesuai untuk pejabat dan bilik mesyuarat. Produk ini juga disertakan ExpertGuardian untuk perlindungan data berlapis dan kemas kini BIOS sehingga lima tahun.

Kedua-dua produk ini kini tersedia di Malaysia pada harga bermula RM5,199 untuk ExpertBook PM3 dan RM3,449 untuk ExpertCenter P500SV.

Pembelian dalam tempoh promosi 25 September hingga 24 Oktober 2025 melayakkan pelanggan menebus ganjaran Touch ’n Go sehingga RM2,000, tertakluk kepada terma dan syarat.

Dengan pelancaran produk tahan lasak ini, ASUS membuktikan komitmennya untuk membantu perniagaan Malaysia beroperasi dengan lebih yakin, selamat dan cekap dalam era digital yang semakin mencabar.

Komen
Loading...