Astro & TVS Bawakan Konsert MeleTOP Pertama di Borneo, Sarawak Jadi Tuan Rumah
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Buat julung kalinya, Astro dan TV Sarawak (TVS) berganding bahu menganjurkan Konsert MeleTOP TVS di Sarawak, sekali gus mencatat sejarah sebagai penganjuran pertama konsert MeleTOP di luar Semenanjung Malaysia.
Konsert yang bertemakan “Nang Champiyen Nang Lagend” ini bakal berlangsung pada 17 Mei 2025 di Stadium Bandaraya Miri (Tertutup) dan akan disiarkan secara langsung menerusi TVS (saluran 122), Astro ONE, dan platform penstriman sooka pada jam 9 malam. Siaran ulangannya akan ditayangkan di Astro Ria (saluran 104) pada 25 Mei 2025, jam 9 malam.
Konsert tersebut menampilkan gabungan elemen budaya Borneo dan hiburan arus perdana, dengan barisan artis popular tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, DOLLA, Marsha Milan, Mimi Fly, Stacy, Hafiz Suip, Floor 88 & Namie, serta artis tempatan seperti Sada Borneo, Dion Das, Hairee Francis, Francisca Luhong, dan ramai lagi.
Acara ini bakal dikendalikan oleh hos MeleTOP iaitu Nabil Ahmad, Sherry Alhadad dan Hawa Rizwana, serta barisan pengacara TVS iaitu Ghaz Zawawi, Cheryl Toh dan Fattah Bolh.
Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, berkata bahawa penganjuran ini merupakan satu penghargaan kepada warga Sarawak dan Sabah yang sentiasa menyokong kandungan Astro.
“Konsert ini bukan sahaja menghimpunkan barisan artis terkenal tanah air, tetapi juga meraikan kepelbagaian budaya tempatan dalam satu pentas yang penuh warna. Kami berterima kasih kepada semua pihak termasuk TVS, MTCP, Majlis Perbandaran Miri dan seluruh warga Sarawak dan Sabah atas kerjasama padu mereka,” katanya.
Konsert MeleTOP TVS turut ditaja oleh U Mobile sebagai penaja utama dan Super Kopi (TM) sebagai kopi rasmi, dengan sokongan ERA Sarawak sebagai rakan radio.
Sebelum konsert utama, Astro akan menganjurkan program Hello Miri bermula 9 hingga 11 Mei 2025 di Permaisuri Imperial City Mall, Miri.
Program ini memberikan peluang kepada peminat untuk bertemu artis seperti Siti Saleha, Haneesya Hanee, Adira, Tomok, Kaka Azraff, Nikki Palikat, dan ramai lagi. Selain itu, uji bakat Kilauan Emas 2025 juga akan berlangsung pada 9 Mei, dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Konsert MeleTOP TVS bukan sekadar hiburan, malah menjadi simbol penyatuan rakyat Malaysia menerusi muzik dan budaya.