Ikuti Kami:

Astro Shaw Umum Kerjasama Global untuk Filem ‘Mojo’, Perkukuh Industri Perfileman Malaysia

Astro Shaw Umum Kerjasama Global untuk Filem ‘Mojo’, Perkukuh Industri Perfileman Malaysia

Penerbit filem terkemuka Malaysia, Astro Shaw, mengumumkan kerjasama strategik antarabangsa bagi penerbitan filem romantik komedi terbaru berjudul Mojo.

Usaha ini melibatkan Sympatico – label produksi di bawah Double Vision, Argo Films dari UK yang diterajui oleh penerbit terkenal Richard Johns, serta Mocha Chai Laboratories.

Astro Shaw akan bertindak sebagai penerbit bersama serta mengetuai strategi pemasaran dan pengedaran di Malaysia bagi tayangan pawagam tahun ini. Sementara itu, syarikat berpangkalan di UK, SC Films International, akan mengedarkan filem Mojo ke pasaran antarabangsa.

Filem ini menampilkan gabungan tenaga kreatif dan barisan pelakon popular dari Malaysia dan Indonesia. Mojo diarahkan oleh Min Lim, yang sebelum ini mengarahkan siri Kopitiam versi reboot.

Skripnya pula digarap oleh Honey Ahmad (Motif, Saladin, Walinong Sari), Zahir Omar (Fly By Night, The Bridge), serta Chi-Ren Choong (The Bridge, Liar). Richard Johns dan Michelle Chang bertindak sebagai penerbit bersama.

Watak utama Mojo dilakonkan oleh pelakon Indonesia terkenal, Adipati Dolken (Sang Kiai, Posesif), bergandingan dengan pelakon berbakat Malaysia, Mimi Lana.

Turut membintangi filem ini ialah Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Dato’ A. Tamimi Serigar, Tony Eusoff, Gambit Saifullah, dan Farah Ahmad.

Penggambaran filem bermula Januari lalu di Perlis dengan sokongan penuh daripada kerajaan negeri. Menurut pengarahnya, Min Lim, filem ini bukan sahaja menawarkan hiburan tetapi turut menonjolkan keunikan latar dan budaya tempatan.

“Kami amat gembira dengan sokongan luar biasa daripada Astro Shaw dan para penerbit antarabangsa. Mojo menggabungkan bakat terbaik dari Malaysia, Indonesia, dan UK, serta membawa kisah unik yang diharapkan dapat menawan hati penonton di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyatakan keyakinan bahawa filem Mojo mampu mencipta impak besar di peringkat antarabangsa.

“Ini adalah kolaborasi pertama kami dalam penerbitan filem bersama Sympatico dan Argo Films. Dengan skrip yang kuat, barisan pelakon berbakat, dan latar yang unik seperti Perlis, kami percaya Mojo mempunyai potensi besar,” ujar beliau.

Filem Mojo mengisahkan Adi, seorang pekerja di Moo Magic Farms, yang berjaya meningkatkan jualan syarikat dengan menjadikan seekor lembu unik bernama Mojo sebagai bintang media sosial.

Namun, konflik timbul apabila syarikat tersebut cuba mengambil alih ladang tenusu kecil di luar bandar demi keuntungan, tetapi dihalang oleh seorang petani, Atan, dan anak perempuannya, Ayu.

Situasi bertambah rumit apabila Atan menculik Mojo sebagai tebusan, memaksa Adi menyamar untuk memujuk penduduk kampung menjual tanah mereka.

Dalam kekalutan itu, Adi mula jatuh cinta dengan Ayu dan menghadapi dilema terbesar dalam hidupnya—antara mengejar kejayaan atau mengikuti kata hati.

Filem Mojo dijangka menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun ini dan bakal memperlihatkan sinergi luar biasa dalam industri perfileman Asia Tenggara di pentas global.

Komen
Loading...