Ikuti Kami:

Astro Shaw Papar Realiti Pahit Nikah Tidak Sah Dalam ‘Akad Yang Hilang’

Astro Shaw Papar Realiti Pahit Nikah Tidak Sah Dalam ‘Akad Yang Hilang’

Isu perkahwinan tidak sah atau nikah fasid yang sering dianggap tabu dalam masyarakat kini diangkat ke layar perak menerusi naskhah terbaharu terbitan Astro Shaw, Akad Yang Hilang.

Filem yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 15 Januari ini, dilihat sebagai satu langkah berani dalam mencetuskan kesedaran mengenai implikasi perundangan syariah serta kesan psikologi terhadap anak-anak yang terbabit.

Penerbit Eksekutif Akad Yang Hilang merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata naskhah itu bukan sekadar hiburan kosong, sebaliknya berfungsi sebagai medium perubahan sosial bagi membincangkan isu yang jarang diketengahkan secara terbuka.

“Kami percaya filem mampu menjadi pencetus perbualan tentang realiti sosial yang mungkin kita terlepas pandang.

“Akad Yang Hilang akan membuatkan penonton berfikir sejenak dan bertanya kepada diri sendiri, apakah yang akan dilakukan jika perkara ini berlaku kepada keluarga mereka? Kesedaran adalah langkah pertama untuk melindungi yang tersayang,” katanya dalam sesi Tayangan Perdana di TGV Cinemas, KLCC, semalam.

Naskhah arahan Bahri Uma Bajuri ini memaparkan kisah Maryam (lakonan Mira Filzah) yang berdepan jalan buntu apabila permohonan wali hakimnya membongkar rahsia hitam keluarga.

Status perkahwinan ibu bapa Maryam disahkan tidak sah (fasid) oleh Mahkamah Syariah, sekali gus mencetuskan polemik mengenai status dirinya sebagai anak sah taraf dan kesukaran meneruskan perkahwinan dengan kekasih pilihan, Ammar (Syarul Ezany).

Lebih menyedihkan, konflik peribadi itu tular di media sosial sehingga memaksa Maryam berhadapan dengan cemuhan dan stigma masyarakat yang melabelnya dengan gelaran ‘anak haram’.

Filem ini turut mencuri tumpuan apabila menandakan kepulangan semula pelakon popular, Mira Filzah ke layar perak selepas beberapa tahun menyepi.

Mira digandingkan buat pertama kali dengan Syarul Ezany, yang juga membuat kemunculan semula di pawagam sejak kali terakhir pada tahun 2008.

Selain teraju utama, kekuatan Akad Yang Hilang turut didorong oleh barisan pelakon hebat seperti Idan Aedan, Aleza Shadan dan Sherie Merlis.

Sentuhan sulung Bahri Uma Bajuri untuk layar perak ini diperkukuhkan lagi dengan skrip nukilan Zuli Ismail dan Eenaz Mokhtar, serta lagu tema sayu berjudul ‘Yang Tertulis’ dendangan Dinda Dania.

Komen
Loading...