
Astro Shaw mendedahkan barisan tujuh filem baharu yang bakal mengisi slot pawagam tempatan bagi suku ketiga dan keempat tahun ini, merangkumi pelbagai genre menarik daripada drama emosi, aksi, seram, animasi keluarga hinggalah ke pertempuran ‘battle royale’.
Antara judul yang diumumkan ialah Abah Saya Uncle Mike, Malam Terlarang, Wantugo, Papa Zola The Movie, Legasi Wira Merah, Magik Rompak dan 3 Hajat. Kesemua filem ini dijangka menyuntik nafas segar kepada industri perfileman tempatan melalui kepelbagaian kisah dan gaya penceritaan.
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata pihaknya komited menyokong karya tempatan yang berani meneroka pelbagai genre dan kisah unik Malaysia.
“Kami percaya setiap kisah menarik wajar diceritakan dengan penuh penghormatan dan keaslian. Barisan filem ini mencerminkan usaha berterusan kami dalam membina kandungan pelbagai suara serta menyemarakkan industri bersama rakan penerbit terbaik tanah air,” ujarnya.
Abah Saya Uncle Mike
Inspirasi daripada kisah benar, filem ini meraikan semangat perpaduan menerusi watak lelaki Cina yang membesarkan tiga anak Melayu. Arahan Ezrie Ghazali, dibintangi Andy Teh, Idan Aedan, Nor Merah, Umar Shakur, Chew Kin Wah, dan Pauline Tan.
Malam Terlarang
Filem seram tahun ini dari Astro Shaw berlatarkan 1987, menyelongkar ritual dan kepercayaan mistik dalam masyarakat. Menampilkan Zul Ariffin, Shasha Abedul, Sofia Jane, Sabri Yunus, arahan Norhanisham Muhammad.
Wantugo
Filem battle royale pertama di Malaysia. Sekumpulan individu dipaksa bertarung dalam permainan maut. Dibintangi Zul Ariffin, Sein Qudsi, Meerqeen, Sky Iskandar, Daiyan Trisha, Elizabeth Tan, Nia Atasha, dan Ucop, arahan Nurhanisham Muhammad.
Papa Zola The Movie
Filem animasi aksi komedi terbitan bersama Monsta. Mengisahkan kisah muda Papa Zola dalam misi menggelikan hati seisi keluarga. Dijadualkan tayangan Disember ini. Treler rasmi mencatat lebih 2 juta tontonan dalam masa 24 jam selepas dilancarkan.
Legasi Wira Merah
Aksi mendebarkan dari dunia bomba, diarahkan James Lee dan dibintangi Ben Amir, Nas Muammar Zar, Henley Hii, Nia Atasha, dan Amar Alfian. Misi menyelamat dari tragedi pencakar langit penuh cabaran dan pengorbanan.
Magik Rompak
Rompakan penuh helah dengan gabungan silap mata dan dendam. Aksi hebat daripada Sharnaaz Ahmad, Zul Ariffin, Nadhir Nasar, dan Amelia Henderson. Arahan Adrian Teh.
3 Hajat
Karya menyentuh emosi tentang bekas banduan yang ingin menebus kesilapan lalu dan memperbaiki hubungan dengan anaknya. Dibintangi Eman Manan, Amerul Affendi, arahan Zul Huzaimy, diterbitkan bersama Artisans.
Astro Shaw turut menyatakan penghargaan kepada rakan penerbit seperti Monsta, Infinitus Gold, Multimedia Entertainment, GSC, ACT 2 Pictures, Le Mediator Studios, dan Artisans, serta rakan pemasaran strategik Etika, atas kepercayaan dan kerjasama menjayakan produksi filem-filem ini.
Dengan tujuh naskhah pelbagai rasa ini, Astro Shaw menyeru penonton untuk terus menyokong filem tempatan yang menjanjikan pengalaman sinematik luar jangkaan menjelang hujung tahun ini.