Ikuti Kami:

‘Astro Shaw Cinematic Universe’: Langkah Berani Transformasi Industri Filem

‘Astro Shaw Cinematic Universe’: Langkah Berani Transformasi Industri Filem

Astro Shaw melakar sejarah baharu industri perfileman tempatan dengan memperkenalkan Astro Shaw Cinematic Universe, satu inisiatif berani yang dijangka mentransformasikan cara karya sinematik dihasilkan dan dinikmati.

Langkah ini menandakan usaha gigih Astro Shaw untuk memastikan filem tempatan terus relevan dan berdaya saing di peringkat serantau serta antarabangsa.

Cinematic Universe ini menghimpunkan pelbagai IP popular seperti Polis Evo, Keluang Man, dan High Council, yang akan dikembangkan melalui filem dan siri premium bermula tahun 2025.

Filem-filem seperti Polis Evo 4, REZA, siri Evo Academy, serta francais Keluang Man dijangka menghidupkan semula nostalgia penonton sambil menawarkan pengalaman baharu.

Menurut Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, langkah ini bukan sahaja fokus kepada kutipan box office tetapi juga membuka peluang kepada penghasilan merchandise, integrasi jenama, dan eksplorasi platform digital.

“Kami percaya bahawa industri filem Malaysia memerlukan strategi baharu untuk terus berkembang. Astro Shaw Cinematic Universe adalah manifestasi usaha kami dalam memanjangkan legasi karya tempatan,” jelas beliau.

Pendekatan kolaboratif menjadi asas kepada kejayaan projek ini, dengan Astro Shaw mengalu-alukan kerjasama daripada studio produksi, bakat anak seni, dan pemain industri lain.

Naratif yang dikembangkan menjanjikan hubungan saling berkait antara karya, menampilkan elemen kejutan yang berbeza dari universe superhero sedia ada.

Sebagai pelopor pemasaran kreatif, Astro Shaw turut mengukuhkan jenama filem melalui kerjasama strategik dengan Wonda, Mirinda, Tune Talk, dan Grab untuk filem-filem di bawah Cinematic Universe ini.

Iklan komersial dan merchandise edisi terhad menjadi antara strategi menarik perhatian penonton.

Dengan gabungan pelbagai genre dan cerita dalam Cinematic Universe, projek ini dijangka memuncak pada tahun 2028 dengan penghasilan sebuah filem epik kolaborasi.

Langkah ini menandakan era baharu bagi industri filem Malaysia yang lebih dinamik, inovatif, dan mampan.

Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi Astro Shaw Cinematic Universe www.astroshawuniverse.com atau ikuti akaun media sosial Astro Shaw.

Komen
Loading...