Ikuti Kami:

Astro Shaw Cinematic Universe: Kitab Kataha Tampil Elemen VFX Berkualiti Antarabangsa

Astro Shaw Cinematic Universe: Kitab Kataha Tampil Elemen VFX Berkualiti Antarabangsa

Astro Shaw terus memacu standard industri perfileman tempatan menerusi pelancaran video terbaharu, Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU): Kitab Kataha, yang menampilkan kualiti kesan khas visual (VFX) setaraf produksi antarabangsa.

Karya berdurasi satu minit 52 saat itu merupakan kesinambungan kepada visi semesta sinematik yang dimulakan pada awal tahun ini, namun kali ini ia memberi fokus kepada dimensi misteri yang lebih mendalam serta kualiti teknikal yang lebih tinggi.

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pemilihan tenaga kreatif bagi naskhah ini mencerminkan komitmen syarikat dalam mengangkat bakat muda tempatan yang mempunyai reputasi di peringkat global.

“Video ini diarahkan oleh dua pengarah muda berbakat besar, Mshaffuan dan Sofyank, yang kita sedia maklum mempunyai kepakaran luar biasa dalam penghasilan kandungan digital serta VFX.

“Malah, sentuhan Nicholas Chin sebagai pengarah sinematografi, yang juga pemenang Anugerah Sinematografi Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), memberikan nilai estetika visual yang cukup memukau,” katanya dalam satu sidang media di Immersify Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Dari kiri: Sofyank dan Mshaffuan.

Menurut Raja Jastina, ASCU: Kitab Kataha bukan sekadar sebuah video promosi, sebaliknya ia adalah “puzzle” atau teka-teki yang direka untuk mencetuskan perbincangan aktif dalam kalangan peminat mengenai masa depan watak-watak ikonik seperti Inspektor Sani, Inspektor Khai, Kahar, dan Keluang Man.

Sejak pelancaran video pertama ASCU: The Beginning pada Januari lalu, kandungan berkaitan semesta ini telah meraih lebih 26 juta tontonan di pelbagai platform media sosial.

Dalam pada itu, Astro Shaw turut mengukuhkan strategi penceritaannya melalui kerjasama dengan Kopi WONDA sebagai rakan strategik bagi platform digital ‘Spill The Beans’ (STB).

Menerusi watak Wan Daud sebagai ‘penghubung’, STB berperanan membongkar petunjuk tersembunyi dan teori eksklusif berkaitan dunia ASCU bagi membolehkan peminat berinteraksi secara lebih dekat menerusi akaun @wandaudrasmi.

Selain itu, buat julung kalinya, video Kitab Kataha turut dilancarkan di Immersify Kuala Lumpur, sebuah galeri seni media imersif pertama di Malaysia yang terletak di Bukit Bintang City Centre.

Langkah ini menandakan permulaan kepada usaha Astro Shaw dalam membawa filem-filem blockbuster miliknya seperti Malam Terlarang, Keluang Man, dan Polis Evo ke ruang visual 360 darjah bagi memberikan pengalaman sinematik yang lebih interaktif kepada penonton.