Astro Shaw Bawa Dua Filem Seram Thailand, Delivery Man & Fortune Seekers
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Astro Shaw terus memperkukuh peranannya dalam memperkenalkan kandungan serantau apabila mengumumkan penglibatan dalam dua filem seram Thailand berjudul Delivery Man dan Fortune Seekers.
Kedua-dua filem tersebut merupakan hasil kerjasama strategik bersama penerbit Thailand, Night Edge Pictures dan telah dilancarkan di pentas antarabangsa menerusi dua pasaran filem berprestij.
Delivery Man diumumkan di European Film Market di Berlin manakala Fortune Seekers dilancarkan secara rasmi di Cannes Market.
Fortune Seekers yang masih dalam fasa pra-produksi menampilkan pelakon terkenal Thailand, Aokbab Chutimon, pemenang International Emmy Awards 2024 yang dikenali menerusi filem Bad Genius dan Hunger.
Filem ini mengisahkan seorang pembantu klinik kecantikan yang menemui azimat misteri yang membolehkannya ‘meminjam’ tuah orang lain. Namun tanpa disedari, tindakannya telah membebaskan roh jahat yang berbahaya.
Sementara itu, Delivery Man dibintangi oleh pelakon popular Thailand, Bhumibhat Thavornsiri dan Ananda Everingham. Ia mengangkat kisah seorang penghantar makanan yang mula obses terhadap pelanggannya dengan jalan cerita penuh ketegangan yang dekat dengan realiti masyarakat Asia masa kini.
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata kerjasama ini merupakan satu lagi langkah proaktif dalam menjulang kandungan Asia Tenggara ke peringkat global.
“Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada dua projek hebat ini yang bukan sahaja menampilkan naratif seram yang unik, malah menonjolkan budaya dan kepercayaan masyarakat Asia Tenggara. Ia seiring dengan misi kami untuk membawa kandungan tempatan dan serantau ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Astro Shaw bakal memainkan peranan penting dalam pengedaran dan promosi kedua-dua filem di Malaysia selain meneroka potensi tayangan melalui platform penstriman.
Filem Delivery Man dijangka menemui penonton pada awal tahun 2026 manakala Fortune Seekers dirancang untuk tayangan sekitar suku ketiga tahun yang sama.