Astro Originals Tampilkan “First Wives” – Bila Isteri Bangkit Lawan Ketidakadilan
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu

Astro Originals sekali lagi mengangkat naskhah bermutu tinggi menerusi drama premium terbaharu First Wives, yang bakal menemui penonton mulai 11 April 2025.
Drama ini membawa mesej mendalam tentang kekuatan wanita dalam menghadapi pengkhianatan, penindasan, dan ketidakadilan dalam rumah tangga — satu realiti yang sering dipandang ringan dalam masyarakat.
Dengan gandingan mantap pelakon versatil Mimi Lana dan Melissa Campbell, First Wives menceritakan tentang perjuangan dua sahabat baik sejak kecil, Diyana dan Michelle, dalam menempuh perkahwinan yang penuh dugaan.
Diyana mendapati suaminya, Azzim (lakonan Malek Mccrone) telah berkahwin lain secara rahsia, manakala Michelle pula tersepit dengan hutang ah long selepas suaminya, Roshan (Charles Roberts), ketagih judi dan melesapkan semua simpanan mereka.
Drama ini membawa pendekatan segar dengan gabungan elemen komedi, emosi dan suspen yang menjadikan naratifnya bukan sekadar menghiburkan, malah menyentuh isu realiti wanita masa kini.
Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif First Wives yang juga Ketua Astro Shaw dan Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro, First Wives mengetengahkan kisah wanita yang memberi impak, menampilkan perjuangan mereka bangkit dari pengkhianatan untuk menuntut keadilan dan memulakan hidup baharu, sebagai satu penghormatan kepada kekuatan dan keberanian wanita.
“Kami mahu menampilkan kisah-kisah wanita yang memberi impak. Dalam First Wives, penonton akan menyaksikan bagaimana wanita boleh bangkit daripada pengkhianatan dan penderitaan untuk menuntut keadilan dan memulakan hidup yang lebih bermakna. Ini adalah penghormatan kepada wanita yang kuat dan berani.” katanya.
Disokong oleh barisan pelakon berpengalaman seperti Andy Teh, Carmen Soo, Theebaan G, Zeera Azizi dan Sathisvaran, drama ini diarahkan oleh Imri Nasution dengan skrip nukilan Catalina Mae Hubbard, Ilya Karnain, Luqman Sheikh Ghazali dan Dee Dee Peter.
Diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Infinitus Productions, First Wives dijangka menjadi satu lagi hit dalam rangkaian siri premium Astro.
Konflik memuncak apabila Diyana dan Michelle merancang untuk mencuri wang dari pasar raya milik Azzim — Azzimart — bagi melangsaikan hutang Michelle.
Namun, rancangan itu terbongkar dan membuka jalan kepada pendedahan skandal pengubahan wang haram oleh Azzim, sekali gus meletakkan mereka semua dalam bahaya.
First Wives akan ditayangkan secara eksklusif bermula 11 April 2025 setiap Jumaat melalui platform On Demand, Astro GO dan sooka mulai 12 tengah malam, serta di Astro Citra (saluran 108) jam 9 malam.
Penonton juga boleh mengikuti siaran ulang di Astro Ria (saluran 104) setiap Isnin jam 9 malam.
Menariknya, siri ini turut menampilkan kolaborasi strategik bersama jenama susu terkenal tempatan, Goodday Charge — memperlihatkan kerjasama erat antara dua jenama ikonik dalam menyampaikan mesej positif kepada masyarakat.
Untuk klip-klip menarik dan info terkini, ikuti laman rasmi Astro Gempak dan Astro Shaw di Instagram, TikTok, Facebook dan X dengan tanda pagar rasmi #FirstWives dan #AstroOriginals.