Ikuti Kami:

Astro Buka Tirai ‘Home of Drama’, Mandul Bukan Pilihan & Thariq Ridzuwan Jadi Taruhan

Astro Buka Tirai ‘Home of Drama’, Mandul Bukan Pilihan & Thariq Ridzuwan Jadi Taruhan

Astro membuka tirai kempen tahunan Home of Drama 2025 dengan mempertaruhkan dua naskhah utama, Mandul Bukan Pilihan dan Thariq Ridzuwan: His Treasure, yang dijangka mencetuskan fenomena tersendiri di kalangan pencinta drama tempatan.

Menampilkan kisah yang sarat emosi serta adaptasi daripada karya popular, kedua-dua drama ini menjadi taruhan awal Astro untuk terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi utama kandungan drama premium negara.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata pelancaran dua naskhah itu melambangkan komitmen Astro untuk menyampaikan cerita yang bukan sahaja menghiburkan tetapi membawa mesej sosial yang mendalam.

“Kami mulakan kempen Home of Drama dengan dua naskhah hebat Mandul Bukan Pilihan, sebuah drama kekeluargaan yang mengangkat isu infertiliti dan stigma wanita, serta Thariq Ridzuwan: His Treasure, kisah cinta penuh aksi dan konflik emosi. Kedua-duanya mencerminkan kekuatan penceritaan tempatan yang kami banggakan,” katanya.

Sidang media pelancaran yang berlangsung di TGV KLCC semalam menyaksikan kehadiran barisan pelakon utama kedua-dua drama termasuk Mira Filzah, Hun Haqeem, Ayda Jebat, Ashraf Muslim, Meerqeen, Qasrina Karim dan ahli kumpulan ALPHA, sekaligus menyerlahkan kesungguhan produksi dalam menjanjikan kualiti.

Mandul Bukan Pilihan, hasil tulisan penulis skrip terkenal dari Indonesia, membawa penonton menyelami dilema rumah tangga pasangan muda yang terikat dengan perjanjian RM1 juta. Kisah ini menyingkap tekanan emosi, cabaran infertiliti dan persepsi masyarakat terhadap wanita.

Dibintangi Mira Filzah dan Hun Haqeem, drama ini turut menampilkan runut bunyi menyentuh jiwa nyanyian Misha Omar, Hael Husaini dan Nadeera Zaini.

Manakala Thariq Ridzuwan: His Treasure pula merupakan adaptasi daripada novel sensasi yang mencatat lebih 10 juta bacaan dalam talian.

Ia mengisahkan perjuangan seorang anggota elit untuk menyelamatkan cinta pertamanya daripada perkahwinan paksa, mencetuskan pelbagai konflik dan ancaman dari masa silam. Drama arahan Eyra Rahman ini diterajui Meerqeen dan Qasrina Karim serta menampilkan lagu tema oleh ALPHA dan Hael Husaini.

Astro turut merancang acara khas Hello KITA pada Ogos ini yang bakal menghimpunkan pelakon kedua-dua drama dan selebriti lain di bawah kempen Home of Drama, memberi peluang kepada peminat untuk bertemu secara langsung dan menyertai aktiviti interaktif.

Mandul Bukan Pilihan dan Thariq Ridzuwan: His Treasure boleh ditonton secara On Demand di Astro GO dan sooka.

Komen
Loading...