Ikuti Kami:

ASTRA Kini Disahkan SIRIM, Bateriku Lancar Makmal Kualiti

ASTRA Kini Disahkan SIRIM, Bateriku Lancar Makmal Kualiti

Jenama bateri automotif tempatan, ASTRA, yang dikeluarkan oleh Bateriku (M) Sdn. Bhd., kini secara rasmi diiktiraf SIRIM setelah kesemua 28 SKU produk bateri tersebut memperoleh pensijilan IEC 60095, menjadikan ASTRA satu-satunya jenama bateri automotif di Malaysia yang menerima pengesahan penuh bagi semua kategori – MF, EFB dan AGM.

Pensijilan tersebut diumumkan sempena majlis pelancaran Makmal Kualiti Bateriku yang diadakan di ibu pejabat syarikat itu di Shah Alam, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri, yang turut memuji inisiatif Bateriku dalam memperkukuh mutu dan kepercayaan terhadap produk tempatan.

“Pensijilan SIRIM yang diperoleh ASTRA menunjukkan kemampuan syarikat tempatan bersaing di peringkat global. Pelaburan dalam makmal dalaman pula membuktikan komitmen Bateriku terhadap kawalan kualiti yang telus dan berasaskan data,” katanya.

ASTRA diperkenalkan tiga tahun lalu dan telah mencatatkan jualan melebihi 1 juta unit setakat ini. Kejayaan itu disokong oleh ekosistem Bateriku yang merangkumi lebih 225 pitstop di seluruh negara dan rangkaian 1,500 juruteknik gig (BHero) yang terlatih.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Tuan Haji Azarol Faizi Zakaria Ansari, pensijilan SIRIM menjadikan ASTRA sebagai simbol standard baharu dalam industri bateri negara.

“ASTRA bukan sekadar bateri, ia adalah janji terhadap kualiti, keselamatan dan ketenangan fikiran pengguna. Kini, dengan pensijilan SIRIM, kami memberikan bukti nyata terhadap keupayaan produk kami,” jelas beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelancaran Makmal Kualiti Bateriku, yang dikendalikan oleh Makmal Hijau Sdn. Bhd., membolehkan setiap bateri ASTRA menjalani ujian dalaman melibatkan prestasi, ketahanan dan keselamatan, selari dengan standard antarabangsa.

Selain itu, setiap pembelian bateri ASTRA turut hadir dengan Perlindungan Takaful Kemalangan Diri (GPA) percuma sehingga RM7,000 adalah inisiatif pertama dalam industri bateri tempatan serta jaminan waranti nasional yang merangkumi bantuan di seluruh negara.

“Jika pelanggan menukar bateri di Shah Alam dan menghadapi masalah di Bota Kiri, Perak  pasukan Bateriku akan hadir terus ke lokasi. Ini kekuatan sebenar ekosistem kami,” katanya lagi.


Datuk Hanafi Sakri, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), turut merasmikan Makmal Kualiti Bateriku dengan menandatangani plat perasmian sebagai simbolik pelancaran

Keunikan ASTRA turut menarik minat ramai mekanik dan pengusaha bengkel kerana segala urusan waranti kini dikendalikan sepenuhnya oleh Bateriku, sekali gus memudahkan proses selepas jualan.

Dalam pada itu, Bateriku juga memperkukuh amalan kelestarian melalui inisiatif Briged Hijau yang ditubuhkan bagi mengurus pelupusan bateri lusuh dan e-waste secara bertanggungjawab.

Bateriku turut membawa wakil media melawat kesemua fasilitinya termasuk Bateriku Contact Center, PITStop Bateriku, Makmal EV Bateriku, Akademi Bateriku, dan BGarage, selain turut mengadakan lawatan khas ke MotorManiac Studio sebagai sebahagian daripada program pelancaran tersebut.

Pihak bengkel yang ingin mendapatkan bateri ASTRA boleh menghubungi 013 844 2816 atau emel ke [email protected] untuk maklumat lanjut.

Komen
Loading...