Ikuti Kami:

Asian Pop Stars 2025 Gilap Bakat Asia ke Peringkat Antarabangsa

Asian Pop Stars 2025 Gilap Bakat Asia ke Peringkat Antarabangsa

Program realiti muzik terbaru, Asian Pop Stars (APS) 2025, dilancarkan hari ini sebagai inisiatif mencungkil dan menggilap bakat dari seluruh Asia untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Pertandingan ini dianjurkan oleh Pertubuhan Generasi Digital Malaysia (PGDM) dengan sokongan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai rakan penyiar rasmi.

Menariknya, bukan hanya pemenang, malah lapan peserta akhir akan diberi peluang menjalani latihan intensif di dua tempat iaitu di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan di Korea Selatan.

Majlis pelancaran rasmi APS 2025 yang berlangsung di ASWARA hari ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Menurut beliau, program seperti ini sangat penting dalam usaha memperkukuh kerjasama budaya serantau sambil mempromosikan Malaysia sebagai hab bakat seni Asia.

“APS bukan sahaja platform pencarian bakat. Ia juga membuka peluang untuk Malaysia menerajui pentas hiburan Asia dan memberi ruang kepada pelancongan budaya untuk berkembang,” kata Khairul Firdaus dalam ucapannya.

Pengerusi PGDM, Datin Seri Dr Harnie Mohamed berkata pihaknya mahu melihat perubahan landskap hiburan Asia dengan memperkenalkan jenama Asian Pop yang berpusat di Malaysia.

“K-pop berasal dari Korea, J-pop dari Jepun. Sudah tiba masanya Asian Pop dikembangkan secara tersusun dengan sistem latihan dan nilai komersial. Kami mahu Malaysia menjadi penggerak utama gelombang ini,” katanya.

“Kita memilih Korea sebagai lokasi latihan kerana mereka telah terbukti berjaya membina industri hiburan global. Finalis kita perlu belajar dan faham sistem kerja mereka yang berdisiplin dan berstruktur,” tambah beliau.

Sebanyak 20 peserta dari pelbagai negara Asia akan menyertai pertandingan ini. Mereka akan menjalani latihan, persembahan mingguan dan sesi bimbingan selama lima minggu.

Persembahan minggu pertama hingga minggu ketiga tidak melibatkan penyingkiran. Pada minggu keempat, 12 peserta akan disingkirkan dan hanya lapan yang terbaik akan layak ke konsert akhir yang dijadual berlangsung pada 3 Januari 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pemenang akan menerima hadiah wang tunai berjumlah USD20,000, piala dan sijil pengiktirafan.

Selain latihan dan persembahan, peserta juga akan menyertai program Cuti-Cuti Malaysia selama sembilan hari yang melibatkan sembilan negeri. Program ini adalah sebahagian daripada promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dari kiri: Azmie Z (Jurulatih Tarian), Fauziah Ahmad Daud (Pengetua), Datin Seri Dr Harnie Mohamed (Pengerusi) dan Isabella Soliano (Guru Vokal)

Seniwati negara, Fauziah Ahmad Daud dilantik sebagai Pengetua program dan akan dibantu oleh dua tenaga pengajar iaitu Isabella Soliano sebagai guru vokal dan Azmie Z Abdden sebagai jurulatih tarian.

Fauziah atau lebih dikenali sebagai Kak Ogy berkata beliau menyambut tanggungjawab ini sebagai satu cabaran besar untuk mencorak generasi baharu artis Asia.

“Saya tidak pandang wajah cantik atau popular. Kalau tiada mutu vokal dan disiplin kerja, mereka tidak akan pergi jauh. Saya mahu finalis ini memahami seni sebagai kerjaya serius, bukan sekadar glamor,” tegasnya.

“Saya juga tekankan pentingnya peserta memberi persembahan yang jujur, bukan semata-mata ikut trend. Penonton sekarang bijak menilai. Kalau tiada kejujuran dan jiwa dalam nyanyian, mereka takkan undi,” tambah beliau lagi.

Menurut Kak Ogy, latihan yang dijalankan bukan sekadar teknikal, tetapi membina ketahanan mental dan emosi.

“Saya nak peserta sedia berdepan tekanan industri. Latihan kita ini bukan untuk manja-manja. Kita nak hasilkan penghibur sejati, bukan sekadar bintang segera,” katanya.

APS 2025 akan disiarkan secara langsung bermula 29 November 2025, setiap malam Sabtu dari pukul 9.00 malam hingga 11.30 malam di saluran RTM dan RTMKlik

Maklumat lanjut boleh didapati di media sosial @asian.pop.stars atau di laman web https://asianpopstars.asia.

Komen
Loading...