Ikuti Kami:

ASIA 2026: 120 Pempengaruh Global ‘Serbu’ 10 Negeri

ASIA 2026: 120 Pempengaruh Global ‘Serbu’ 10 Negeri

Sebahagian daripada pempengaruh yang terlibat bagi edisi All Star Influencers Award (ASIA) 2026. 

Platform All Star Influencers Award (ASIA) kini mengorak langkah lebih agresif apabila seramai 120 pempengaruh digital dari 22 negara bakal berkumpul di Malaysia bagi menjayakan edisi 2026 yang lebih besar dan berimpak tinggi.

Penganjuran tahun ini membawa kelainan apabila barisan pempengaruh terbaik dunia itu akan ‘menyerbu’ 10 negeri terpilih termasuk Johor, Terengganu, Pahang, dan Sabah bagi mempromosikan destinasi pelancongan tempatan serta makanan lokal secara global.

Ketua Pegawai Ecsekutif ASIA, Datuk Abd. Rahman Soltan berkata, inisiatif ini mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui pemberian geran sokongan bagi memastikan mesej pelancongan negara sampai ke peringkat antarabangsa.

Menurut Abd. Rahman, pemilihan lokasi dan hala tuju promosi bagi edisi 2026 ini diselaraskan mengikut saranan pihak kementerian bagi memastikan ia selari dengan agenda nasional.

“Kelainan tahun ini adalah kami memfokuskan kepada lokasi yang jarang dipromosikan (hidden gems) dan makanan autentik supaya dunia tahu ini adalah identiti Malaysia.

“Malah, negeri-negeri yang dipilih untuk dikunjungi tahun ini juga adalah berdasarkan cadangan pihak kementerian bagi merancakkan lagi kempen Visit Malaysia 2026.

“Sokongan ini membuktikan kerajaan melihat potensi besar pempengaruh digital sebagai ejen promosi moden yang mampu melonjakkan nama Malaysia di peta pelancongan dunia,” katanya dalam satu temu bual, hari ini.


Ketua Pegawai Eksekutif ASIA, Datuk Abd. Rahman Soltan.

Tambah beliau, daripada 120 peserta yang terlibat, hampir 25 orang adalah wakil dari Malaysia manakala selebihnya adalah pempengaruh antarabangsa yang mempunyai penglibatan (engagement) tinggi di platform masing-masing.

Rekod tahun lalu menunjukkan program ini berjaya meraih 1.3 bilion tontonan di TikTok dan 600 juta di Instagram.

Untuk edisi 2026, penganjur optimis dapat mengekalkan atau melampaui angka 1.7 bilion tontonan secara keseluruhan.

Menurut Abd. Rahman, impak digital ini memberikan kesan rantaian ekonomi (chain reaction) yang luas kepada pengusaha hotel, pemandu teksi, dan restoran tempatan.

“Apabila sektor pelancongan kita rancak dipromosikan oleh pempengaruh ini, ekonomi negara akan menjadi lebih sihat. Ia adalah satu kitaran ekonomi yang luas; kalau pelancong datang, hotel-hotel kita akan penuh dan mendapat keuntungan.

“Bukan itu sahaja, kesan ini turut dirasai oleh pemandu teksi dan e-hailing yang mendapat penumpang, serta pengusaha restoran dan gerai makan lokal yang akan dikunjungi pelancong asing. Malah, peniaga kecil di lokasi tumpuan juga akan menerima limpahan rezeki hasil daripada promosi digital ini,” katanya.

Pemenang utama ASIA 2026 bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$10,000 (kira-kira RM47,000) berserta pakej percutian eksklusif, yang dijadualkan berlangsung di Dubai tertakluk kepada situasi semasa.