As Sofa Gerak Usaha Kumpul Dana RM15 Juta Bina Kampus Tetap Kolej Islam di Rembau
- oleh MDaily Editor
- 2 Feb 2026 2:29 pm
Yayasan Sofa dengan kerjasama Kumpulan Pendidikan Sofa (SEG) giat menggerakkan usaha mengumpul dana sebanyak RM15 juta bagi merealisasikan pembinaan kampus tetap Kolej Islam As-Sofa yang disifatkan sebagai projek penting dalam memperkukuh ekosistem pendidikan Islam bersepadu di Malaysia.
Usaha pengumpulan dana itu dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif, termasuk penganjuran Majlis Makan Malam Amal As-Sofa yang menghimpunkan sokongan masyarakat, alumni serta para penyumbang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan As Sofa, Dr. Mohd Amirul Isma Md Yusof berkata, pembinaan kampus tetap bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi satu pelaburan strategik bagi masa depan pendidikan Islam yang menyeluruh.

“Kami sedang berusaha mengumpul dana RM15 juta bagi merealisasikan pembinaan kampus tetap Kolej Islam As-Sofa yang akan menjadi tonggak kepada pembangunan institusi ini.
“Sejak penubuhan, As Sofa menekankan gabungan pendidikan akademik, tahfiz dan diniyah sebagai asas melahirkan generasi berilmu dan berakhlak,” katanya pada sidang media sempena majlis Makan Malam Amal, Apresiasi Akademik As Sofa dan pelancaran Kampus Tetap Kolej Islam As Sofa di Kuala Lumpur pada malam Ahad.
Turut hadir Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhd Sufi Ibrahim.
Perasmian majlis makan malam tersebut dirasmikan Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja, Abdul Rahim Yasin.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengasas dan Pengerusi Kolej Islam As Sofa, Datuk Dr. Muhammad Fuad Kamaludin, Ahli Dewan Negara, Senator Dr. Jufitri Joha dan Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Sembilan, Datuk Mohd Shukor Sabudin.
Projek kampus tetap itu dirancang untuk dibangunkan di Rembau, Negeri Sembilan, selepas beberapa perancangan terdahulu di lokasi lain tidak dapat diteruskan atas faktor teknikal dan kesesuaian tapak.
Dr. Mohd Amirul menegaskan bahawa As-Sofa bukan sekadar institusi pendidikan, tetapi sebuah gerakan tarbiah yang berusaha melahirkan generasi berdaya saing dalam pelbagai bidang profesional.
“Kami mahu memastikan pendidikan Islam yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan semasa serta mampu membentuk jati diri pelajar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dr. Muhd Sufi menjelaskan bahawa perancangan pembangunan kampus tersebut kini berada pada fasa awal dengan pelan reka bentuk dan arkitek telah disiapkan.
“Malam ini (Ahad) adalah permulaan kepada projek pembangunan kampus tetap As Sofa dan dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk kerja-kerja asas pembangunan,” katanya.
Beliau menambah, sasaran As Sofa adalah untuk menyiapkan kampus tetap itu dalam tempoh dua tahun, sekali gus menyediakan prasarana yang lebih tersusun untuk pelajar dan warga pendidik.
“Jumlah dana yang dikumpulkan setakat ini masih belum mencukupi, namun ia menjadi langkah awal yang signifikan bagi menggerakkan projek berskala besar itu,” ujarnya.
Kampus tetap yang dirancang dianggarkan bernilai RM15 juta dengan keluasan sekitar 35,000 kaki persegi dan direka bagi menampung keperluan pelajar yang semakin meningkat.
Pembangunan kampus ini turut menjadi asas kepada aspirasi As Sofa untuk menaik taraf kolej sedia ada kepada status Kolej Universiti pada masa hadapan.
Institusi pendidikan itu juga optimis pembinaan kampus tetap di Rembau akan menjadi titik perubahan penting dalam perjalanan institusi itu, sekali gus memperkukuh masa depan pendidikan Islam bersepadu di negara ini.
As Sofa merupakan sebuah gerakan pendidikan Islam berteraskan manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah yang diasaskan oleh Dr. Muhammad Fuad, seorang tokoh ulama dan pendakwah yang dikenali dalam dunia dakwah Nusantara.
Ia kemudian berkembang melalui rangkaian pendidikan bersepadu yang merangkumi pendidikan tahfiz dan turath Islam; pendidikan akademik moden, pembinaan sahsiah dan akhlak serta pembentukan kepimpinan dan dakwah.
Pendekatan pendidikan As Sofa menekankan keseimbangan antara ilmu agama, ilmu dunia, akhlak, spiritual dan tanggungjawab sosial dengan matlamat melahirkan generasi ulama intelektual serta profesional berteraskan nilai Islam.
Penubuhan Kolej Islam As Sofa sudah bermula sejak Julai 2011 dan telah berdaftar secara rasmi di bawah Akta Institut Pendidikan Tinggi Swasta 1996.
Ia mula beroperasi sepenuhnya pada 28 Oktober 2012 dengan matlamat bagi menyediakan laluan pendidikan tinggi Islam yang tersusun, sistematik dan berwibawa sekali gus memperkukuh ekosistem pendidikan Islam bersepadu di Malaysia.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan bagi Pembinaan Kampus Tetap Kolej Islam As Sofa boleh menyalurkan ke akaun CIMB 8604424793 (Kolej Islam As Sofa) atau menghubungi Ustaz Shah 013-2107642 untuk pertanyaan lanjut.




