Ikuti Kami:

As Sahar, Sil Khannaz dan Langsuir Gegar Konsert 30 Tahun Nebiula Productions

As Sahar, Sil Khannaz dan Langsuir Gegar Konsert 30 Tahun Nebiula Productions

Tiga kumpulan metal terkemuka, As Sahar, Sil Khannaz dan Langsuir, bakal menggegarkan pentas bersempena Konsert 30 Tahun Nebiula Productions yang akan berlangsung di BSYNC Hall, Kuala Lumpur pada 1 Nov ini.

Acara anjuran Nebiula Productions itu dijadual bermula jam 4 petang dan menghimpunkan enam kumpulan yang pernah bernaung di bawah label berkenaan sejak penubuhannya pada 1994.

As Sahar, yang sinonim dengan konsep “Eastern Black Metal” dan album klasik Phenomistik (1996), dijangka menjadi tarikan utama konsert tersebut.

Turut sama ialah Sil Khannaz, kumpulan death metal pertama yang menghasilkan karya di bawah Nebiula menerusi EP Pendita Gila, dengan vokalisnya, Abdul Ramzee atau Jaei, merupakan pengasas label tersebut.

Sementara itu, Langsuir yang dianggap antara pelopor metal Malaysia, bakal mempersembahkan karya klasik mereka Eastern Cruelty (1996), yang pernah diterbitkan bersama Nebiula.

Tiga kumpulan lain yang turut membuat persembahan ialah Humiliation, band old-school death metal yang pernah menghasilkan mini album Face the Disaster (2009); Black Fire, pelopor black/thrash metal dengan album Lahir Dari Api (2005); serta Vociferation Eternity, kumpulan melodic death metal dengan album ikonik Ocean Myth (1996).

Dengan tiket berharga RM80, konsert itu dijangka menarik kehadiran ramai peminat muzik ekstrem yang mahu menyaksikan pertemuan semula kumpulan pelopor metal tanah air.

Sejak ditubuhkan, Nebiula Productions telah menerbitkan lebih 200 rilisan fizikal dalam format kaset, CD dan piring hitam, sekali gus memainkan peranan penting dalam perkembangan muzik bawah tanah tempatan.

Komen
Loading...