Ikuti Kami:

Ary Hussin Tampil Dengan Single ‘Luka Terpaling Dalam’ Ciptaan Edrie Hashim

Ary Hussin Tampil Dengan Single ‘Luka Terpaling Dalam’ Ciptaan Edrie Hashim

Selepas dua dekad berkecimpung dalam arena muzik secara sepenuh masa, penyanyi dan vokalis kumpulan rock Band Penunggu, Ary Hussin, 40, akhirnya melancarkan single sulungnya, berjudul Luka Terpaling Dalam.

Lebih manis, Ary muncul sebagai artis rakaman sulung A7 Empire dan A7 Entertainment, di mana karya balada popnya itu mendapat sentuhan komposer dan penulis lirik legenda, Edrie Hashim.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Edrie Hashim yang dikenali sebagai arkitek muzik terkemuka, mengakui beliau sudah lama mengidolakan Ary dan tergerak untuk mencadangkan kerjasama selepas melihat bakat serta komitmen Ary di pentas seni.

“Saya hilang kata-kata kerana bersyukur bakat dan suara saya dinilai sebagai berkualiti serta mampu diketengahkan dalam industri muzik kita.

Tawaran menjadi seorang penyanyi profesional hadir pada usia yang tidak lagi muda, namun saya percaya ini adalah rezeki hasil penantian 20 tahun,” katanya kepada media semasa Majlis Perlancaran yang diadakan di The Heritage Club, The Royal Chulan Hotel Kuala Lumpur.

Luka Terpaling Dalam merupakan single bergenre pop balada yang memaparkan kekuatan vokal Ary dalam balutan melodi yang digambarkan sebagai ‘pekat’ Malaysia-nya.

Lagu ini mengisahkan tentang emosi dan patah hati, disampaikan secara sinematik dengan susunan instrumental yang menggunakan gabungan strings dan piano.

Edrie Hashim, yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam penghasilan karya ini, berkata beliau menghasilkan lagu itu dengan mengambil kira ciri khas vokal Ary.

“Luka Terpaling Dalam saya hasilkan mengikut ciri khas Ary Hussin iaitu kekuatan vokalnya yang cukup kaya dengan bunyian Melayu. Ada sedikit rasa ‘klasik’ tetapi tetap segar sesuai dengan cita rasa masa kini,” jelas Edrie.

Pihak A7 Entertainment mula menaruh minat terhadap Ary sejak program realiti Astro, Gimme The Mic pada tahun 2024 dan mula merangka konsep bersesuaian sebelum menawarkan kontrak sulung kepadanya pada awal tahun 2025.

Pelancaran single ini turut diserikan dengan live performance pertama Ary Hussin secara eksklusif, selain tayangan perdana video muzik rasmi yang diarahkan oleh Syazwan Zazlan dari A7 Entertainment.

Edrie Hashim dan Ary Hussin menyatakan harapan tinggi agar Luka Terpaling Dalam dapat diterima baik oleh pendengar, bukan sahaja sebagai sebuah karya baharu, tetapi juga dapat menyumbang kepada kepelbagaian dan pertumbuhan sihat muzik tempatan.

Luka Terpaling Dalam kini sudah boleh didengarkan di pelbagai stesen radio dan platform media sosial.

Komen
Loading...