Ikuti Kami:

Arus & Arah: Firdaus Rahmat Bawa Nafas Baru Dalam OST Anak-Anak Mafia

Arus & Arah: Firdaus Rahmat Bawa Nafas Baru Dalam OST Anak-Anak Mafia

Lagu tema untuk drama bersiri Anak-Anak Mafia, berjudul Arus & Arah, bukan sekadar pelengkap naratif, malah tampil sebagai nadi emosi yang memberi nafas baru kepada keseluruhan karya.

Dinyanyikan oleh Firdaus Rahmat, lagu ini membawa gabungan rock moden dan melodi motivasi yang seiring dengan perjalanan konflik serta semangat perjuangan watak utama dalam drama eksklusif Tonton itu.

Hasil ciptaan John Jeeves dan Iqie Hugh, Arus & Arah merupakan kolaborasi ketiga Firdaus bersama Alternate Records. Lagu ini hadir dengan suntikan adrenalin, mengangkat tema keberanian untuk melawan arus kehidupan – suatu elemen yang turut menjadi teras penceritaan Anak-Anak Mafia.

“Watak-watak dalam drama ini melalui cabaran yang kompleks dan berat, jadi kami mahu sebuah lagu tema yang bukan sekadar sedap didengar, tetapi dapat menyalurkan semangat yang sama,” ujar John yang juga bertindak sebagai penerbit lagu.

Menurutnya, idea utama lagu ini lahir terus daripada kekuatan naratif naskhah itu sendiri.

Firdaus yang menyampaikan lagu ini dengan penuh jiwa turut melihat peluang ini sebagai cabaran vokal yang berbaloi.

“Lagu ini memerlukan banyak penghayatan dan kawalan tenaga. Saya perlu benar-benar faham konflik yang dilalui dalam drama agar emosi dalam nyanyian lebih sampai,” katanya.

Proses rakaman yang mengambil masa dua minggu itu memberi ruang kepada Firdaus untuk mengolah teknik vokalnya agar dapat membawa kesan yang mendalam kepada pendengar.

Beliau juga berharap lagu ini dapat menjadi simbol kekuatan buat penonton dan peminat yang mungkin sedang melalui fasa sukar dalam hidup.

Lebih istimewa, Arus & Arah tidak hanya berdiri sebagai runut bunyi, tetapi turut diangkat sebagai karya muzik tersendiri yang mampu memberi kesan mendalam walaupun didengar di luar konteks drama.

Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.

Anak-Anak Mafia, yang menampilkan barisan pelakon seperti Mierul Aiman, Fitri Farok, Fariz Isqandar, Zhen Ning dan Scha Elinnea, ditayangkan setiap Isnin dan Khamis secara eksklusif di Tonton.

Komen
Loading...