Arul Rasheed & Aiman Sidek Kolaborasi Pop Yeh Yeh dalam ‘Gadis Idaman’
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Komposer dan penyanyi terkenal, Aiman Sidek, kembali bekerjasama dengan pempengaruh TikTok, Arul Rasheed, menerusi single terbaharu berjudul Gadis Idaman.
Lagu yang diterbitkan oleh 4U Entertainment ini menjadi single ketiga Arul selepas kejayaan dua lagunya sebelum ini.
Menurut Aiman, Gadis Idaman merupakan karya ciptaan sepenuhnya olehnya dan membawa genre pop yang ringan dan segar.
“Lagu ini menceritakan tentang seorang lelaki yang akhirnya menemui gadis impiannya, lalu menyerahkan cinta dan sayang hingga akhir hayat. Arul Rasheed adalah pilihan terbaik untuk projek ini kerana karakternya yang lucu memberikan sentuhan dinamik pada lagu,” jelas Aiman.
Arul, atau nama sebenarnya Fakhrul Akmal, turut berkongsi rasa terujanya terhadap lagu ini.
“Selepas Jagakan Dia dan Separuh Jiwaku Mati, saya ingin mencuba genre yang berbeza. Apabila abang Aiman memperkenalkan melodi Gadis Idaman, saya terus setuju kerana rentak pop yeh yeh itu sangat menarik. Saya mahu peminat melihat bahawa saya mampu menyanyikan pelbagai genre,” katanya.
Sejak dilancarkan pada 10 Oktober lalu, Gadis Idaman mendapat sambutan positif daripada peminat.
Jumlah tontonan di saluran YouTube 4U Entertainment terus meningkat, di samping ribuan perkongsian di TikTok dan platform media sosial lain seperti Instagram dan Facebook.
Penerbit Eksekutif 4U Entertainment, Meor Alfaizal dan Raja Azraff, turut menaruh harapan tinggi terhadap lagu ini.
“Kami berharap Gadis Idaman akan mendapat tempat di hati pendengar, sekaligus memantapkan kerjaya Arul Rasheed dan Aiman Sidek dalam industri muzik tanah air,” ujar mereka.