
Penyanyi kumpulan UG14, Wom, berpendapat bahawa artis ‘otai’ wajar bersatu dalam menetapkan kadar bayaran persembahan supaya tidak terus dieksploitasi oleh pihak penganjur.
Mengulas lanjut, Wom atau nama lengkapnya Abdul Wahab bin Zainudin berkata, sikap tidak sepakat antara artis lama menyebabkan wujud situasi di mana penganjur menawarkan bayaran rendah, dan apabila ada yang menerima, ia memberi kesan kepada keseluruhan pasaran.
“Adakalanya kami menolak tawaran harga rendah kerana mahu melibatkan band, tetapi selepas itu penganjur serahkan tawaran tersebut kepada artis lain yang sanggup terima. Kesannya, penganjur lain turut tawarkan harga rendah dan kami tiada pilihan.
Wom UG14 – FOTO Papadin.
“Kami bukan minta harga melampau, cuma yang masuk akal kerana bila melibatkan band, kosnya lebih besar. Kalau harga terlalu rendah, hanya penyanyi sahaja dipanggil tanpa band, dan itu jejaskan kualiti persembahan,” katanya.
Wom juga mengakui ada rakan artis yang menurunkan harga demi kelangsungan hidup, namun jika tindakan ini berterusan, ia akan menjejaskan kedudukan artis lama di pasaran.
“Kami faham semua orang nak cari rezeki untuk keluarga, tapi kalau berterusan, artis-artis lama akan terus ditawarkan harga rendah kerana penganjur tahu ada yang sanggup terima,” jelasnya.
Kumpulan UG14 yang diasaskan oleh Wom bukan sahaja mencetus fenomena pada era kegemilangannya, malah terus diingati sehingga kini menerusi lagu hit Bunga Larangan.
Dalam perkembangan lain, Wom bakal tampil di Konsert Jelajah Nostalgia Rockestra Lagenda 90an yang akan berlangsung di RCDbig Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 27 September depan.
Persembahan itu turut menghimpunkan sembilan lagi artis legenda 90-an dan akan diiringi alunan orkestra penuh.
“Saya rasa sangat teruja kerana ini kali pertama saya akan menyanyi dengan iringan orkestra. Selama ini saya selalu bersama band, jadi ini pengalaman baharu yang saya nanti-nantikan,” katanya.
Konsert ini menghimpunkan nama-nama besar dalam industri rock tanah air seperti Blank (Gamma), Aan (Ways), Burn (Meditasi), Renggo (Arrow), Isa (Gravity), Azan (Scan), Shafie (Rio), Afee (Utopia), Wom (UG14) dan Aju (Success).
Tiket kini mula dijual menerusi www.211eventempire.com dengan harga antara RM188 hingga RM1,888 untuk kehadiran fizikal, manakala tiket tontonan secara penstriman langsung boleh didapati pada harga RM20 sahaja.