Aroma Nasi Lemuni, Ayam Percik Taruhan Utama Serambi Cafe & Restaurant
- oleh MDaily Editor
- 7 May 2026 10:43 pm
Bagi penggemar hidangan tradisi Melayu yang mencari kelainan di tengah-tengah kesibukan kota, Serambi Cafe & Restaurant yang terletak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) kini menjadi destinasi tumpuan menerusi keunikan menu warisannya, terutamanya Nasi Lemuni dan Ayam Percik.
Meskipun kawasan TTDI terkenal dengan pelbagai pilihan kafe moden dan antarabangsa, Serambi Cafe & Restaurant memilih untuk mempertahankan cita rasa asli yang jarang ditemui, sekaligus menggamit memori masakan kampung buat pengunjungnya.
Pemiliknya, Muhammad Fathi Ab Shukor, berkata pemilihan menu seperti Nasi Lemuni bukan sekadar untuk jualan, malah bertujuan memperkenalkan khasiat herba tradisional kepada generasi muda.

Pemilik Serambi Cafe & Restaurant, Muhammad Fathi Ab Shukor.
“Nasi Lemuni kami menggunakan herba asli yang memberikan aroma unik dan manfaat kesihatan, dipadankan pula dengan Ayam Percik yang dimasak dengan kuah lemak berkrim mengikut resipi turun-temurun. Ia adalah antara menu paling mendapat sambutan di sini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menariknya, di sebalik kelazatan sajian tersebut, Muhammad Fathi yang juga seorang bekas jurutera mekanikal, menerapkan sistem operasi (SOP) dapur yang sangat teliti bagi memastikan konsistensi rasa.
Selain hidangan tunggal, restoran ini turut menawarkan pelbagai seleksi ‘Rasa Warisan’ lain termasuk Gulai Lemak Cili Api Ayam, Terung Berlado, dan Nasi Basmati yang menjadi pelengkap kepada selera pengunjung.

Beliau yang berpengalaman selama 14 tahun dalam pelbagai sektor industri sebelum terjun ke dunia kulinari menerusi konsep ‘Ghost Kitchen’, kini menggunakan kepakarannya untuk memperkasakan pengurusan restoran tersebut.
“Saya mendalami prinsip makanan dan minuman (F&B) secara serius sehingga diberi kepercayaan menjadi penasihat industri bagi beberapa kolej tempatan. Di Serambi, setiap proses daripada pembelian bahan mentah sehingga penyediaan hidangan mempunyai sistemnya sendiri,” jelas beliau.
Selain ruang makan selesa yang sesuai untuk seisi keluarga, Serambi Cafe & Restaurant turut menawarkan perkhidmatan katering untuk acara korporat, majlis pertunangan, dan keraian peribadi.
Dengan pakej bufet bermula dari RM50 seorang bagi minimum 30 tetamu, restoran ini menyediakan ruang alternatif bagi mereka yang ingin menganjurkan majlis dalam suasana santai namun eksklusif.

Bagi yang lebih gemar menikmati hidangan di pejabat atau rumah, pilihan ‘Bento Box’ dan ‘Party Tray’ turut disediakan dengan harga yang sangat berpatutan.
Bagi mereka yang ingin merasai sendiri keunikan Nasi Lemuni dan Ayam Percik di TTDI, Serambi Cafe & Restaurant beroperasi di127, Jln Aminuddin Baki, Taman Tun Dr Ismail, dan sebarang tempahan boleh dilakukan secara dalam talian atau menghubungi di talian 011-1099 1606.
