Ikuti Kami:

Armada & Batas Senja Gegar Zepp KL Menerusi POP UP MUZIK Oktober Ini

Armada & Batas Senja Gegar Zepp KL Menerusi POP UP MUZIK Oktober Ini

Dua band terkenal dari Indonesia, Armada dan Batas Senja, bakal menggegarkan peminat Malaysia menerusi konsert eksklusif POP UP MUZIK yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2025.

Acara sulung anjuran Hype Live dengan kerjasama Black Sky Enterprise itu dijangka menjadi malam penuh warna, emosi dan interaksi, apabila Armada tampil dengan koleksi lagu malar segar sementara Batas Senja pula menyentuh hati pendengar dengan karya puitis mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Hype Live, Dipta, menyifatkan POP UP MUZIK sebagai jawapan kepada kerinduan peminat untuk lebih dekat dengan artis kegemaran dari luar negara.

“Kami mahu peminat menikmati pengalaman yang lebih peribadi, termasuk sesi Meet & Greet dan peluang bergambar bersama artis. POP UP MUZIK bukan sekadar konsert, tetapi sebuah platform penghubung budaya dan muzik,” katanya.

Penerbit bersama, Willy Dozan dari Black Sky Enterprise, pula yakin gabungan Armada dan Batas Senja akan meninggalkan kesan mendalam pada penonton Malaysia.

“Sambutan hangat peminat terhadap kedua-dua band ini meyakinkan kami bahawa persembahan di Zepp Kuala Lumpur nanti akan menjadi malam penuh memori indah,” ujarnya.

Armada dijangka memukau dengan lagu popular seperti Asal Kau Bahagia dan Pergi Pagi Pulang Pagi, manakala Batas Senja bakal melontarkan emosi melalui karya seperti Nanti Kita Seperti Ini, Kita Usahakan Lagi dan Menceritakanmu.

Dengan gabungan artis berpengaruh ini, POP UP MUZIK menjanjikan sebuah malam yang bakal dikenang lama oleh ribuan peminat.

Tiket ditawarkan pada harga serendah RM165 hingga RM485 kini mula dijual di HYPELIVE-MY.TIXR.COM/POPUPMUZIK.

Komen
Loading...