Ikuti Kami:

Arish Mikael Serlahkan Jiwa Seni Melalui ‘Antara Puisi dan Rautmu’

Arish Mikael Serlahkan Jiwa Seni Melalui ‘Antara Puisi dan Rautmu’

Selepas kejayaan single pertamanya, Nukilanku, Arish Mikael kini kembali dengan karya terbaru bertajuk Antara Puisi dan Rautmu.

Single ini merupakan luahan jiwa seorang seniman muda yang menyentuh keindahan cinta, kejujuran, dan emosi yang tercipta dari pengalaman hidupnya.

Berasal daripada keluarga sederhana, Arish telah menunjukkan kecintaan terhadap muzik sejak kecil.

Mengambil inspirasi daripada tokoh seni seperti P. Ramlee, Mamat Khalid, serta kumpulan rock legenda Search, Arish mula mendalami dunia muzik dengan menulis lirik dan menggubah lagu sendiri.

Antara Puisi dan Rautmu merupakan karya terbarunya yang menggabungkan pendekatan pop dengan semangat rock n’ roll, membawa dimensi bunyi yang lebih matang dan menarik.

“Lagu ini merangkumi perasaan seorang seniman yang jatuh cinta. ‘Puisi’ dalam lagu ini adalah simbolik kepada seni yang menginspirasikan keindahan, manakala ‘Raut’ pula bukan hanya tentang paras rupa,” jelas Arish.

Dirakam secara DIY sewaktu zaman persekolahan dan kini diperhalusi dengan produksi profesional oleh Izzat Ramayan dan Faliq Mohd, Antara Puisi dan Rautmu telah melalui evolusi daripada demo YouTube kepada versi studio berkualiti tinggi.

Pelancaran rasmi lagu ini diadakan di Showcase Arish Mikael yang berlangsung di Liberal Latte pada malam Khamis.

Showcase tersebut diadakan secara intim dan eksklusif untuk peminat mendengar secara langsung Antara Puisi dan Rautmu.

Dengan suasana santai dan dekat, Arish memberi peluang kepada peminat untuk menghayati karyanya secara lebih mendalam.

Arish Mikael berharap single ini dapat diterima ramai dengan positif.

“Harapan saya, lagu ini memberi semangat kepada semua yang mendengar untuk terus berjuang dalam seni dan muzik,” katanya.

Single Antara Puisi dan Rautmu akan dilancarkan secara digital pada 21 Februari 2025 di semua platform digital bersama visualizer khas di YouTube.

Komen
Loading...