
Arish Mikael, bintang baharu di bawah naungan Luncai Emas Sdn Bhd, semakin mencuri perhatian dalam industri muzik tempatan.
Dengan vokal yang unik dan berkarakter, kehadiran penyanyi muda ini disifatkan sebagai satu nafas segar dalam dunia seni suara.
Dato’ M. Nasir, figura tersohor dalam industri muzik, turut mengakui keistimewaan Arish yang memiliki suara unik, menjadikannya aset berharga untuk rakaman studio.
“Suara dia mempunyai elemen yang seimbang, dengan gabungan bass dan treble yang harmoni. Nada suaranya jelas, berkarakter, sangat sesuai untuk rakaman studio, serta jujur dalam penyampaiannya,” ujar Dato’ M. Nasir selepas showcase Arish Mikael di Liberal Latte pada malam Khamis.
Walaupun sering dikaitkan dengan suara Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Dato’ M. Nasir menegaskan bahawa Arish sebenarnya mempunyai tone suara yang berbeza dan identiti tersendiri.
“Suara dia sebenarnya tidak sama seperti Sudirman, tetapi mungkin kerana dia menyanyikan lagu Sudirman, ada sedikit kemiripan yang boleh didengar. Namun, dia bukan hanya bergantung pada persamaan itu. Dia ada kreativiti dan keupayaan untuk membentuk identiti sendiri,” jelasnya.
Selain keistimewaan dalam vokal, Arish juga berbakat dalam mencipta lagu, satu kelebihan yang menjadikannya lebih menonjol dalam industri.
“Dari lagu yang dirakamnya, dia bijak memilih melodi dengan susunan nota yang unik, selaras dengan gaya muziknya sendiri,” kata Dato’ M. Nasir, yang percaya bahawa kebolehan Arish dalam penciptaan lagu akan menjadi nilai tambah dalam perjalanan seninya.
Beliau turut berharap Arish berani meneroka isu-isu sosial serta mengangkat nilai-nilai murni dalam lirik ciptaannya pada masa depan.
Selepas kejayaan single pertamanya, Nukilanku, Arish Mikael kini kembali dengan karya terbaharu bertajuk Antara Puisi dan Rautmu.
Single ini merupakan luahan jiwa seorang seniman muda yang menyentuh keindahan cinta, kejujuran, dan emosi yang tercipta daripada pengalaman hidupnya.
Showcase tersebut diadakan secara intim dan eksklusif, membolehkan peminat menikmati secara langsung single terbaharu Arish, sekaligus membuktikan bahawa dia bukan sekadar penyanyi dengan vokal unik, tetapi juga seorang artis yang memiliki potensi besar untuk terus berkembang dalam industri muzik tempatan.
Single Antara Puisi dan Rautmu akan dilancarkan secara digital pada 21 Februari 2025 di semua platform digital bersama visualizer khas di YouTube.