Jenama makanan tempatan, Aris Burger, melakar satu lagi pencapaian strategik dalam industri makanan tempatan melalui pelancaran produk sedia dimakan atau Ready-To-Eat (RTE) yang pertama seumpamanya dihasilkan oleh usahawan Bumiputera di Malaysia.
Produk inovatif ini diperkenalkan bagi memenuhi permintaan tinggi pengguna terhadap makanan halal yang pantas, berkualiti, serta sesuai dengan gaya hidup moden yang semakin sibuk.
Majlis pelancaran rasmi tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, di Kompleks Usahawan MARA (KIM), Batu Muda, di sini, hari ini.
Pengasas Aris Burger, Datuk Haji Haris Embong berkata, produk RTE berkenaan merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama enam bulan dengan kerjasama strategik Fakulti Pemprosesan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
”RTE Aris Burger adalah yang pertama di Malaysia bagi kategori usahawan PKS bimbingan MARA. Kami melalui proses R&D yang teliti merangkumi kajian jangka hayat (shelf life), maklumat nutrisi, serta pematuhan Akta Makanan.
”Malah, kami berjaya memperoleh pensijilan Halal JAKIM dalam tempoh singkat iaitu kurang dua bulan, selain mendapat pengiktirafan lengkap daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui sijil HACCP, GMP, dan MeSTI,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran tersebut.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (kiri) sedang tekun mendengar taklimat mengenai produk RTE Burger Aris daripada pengasasnya, Datuk Haji Haris Embong (kanan).
Menurut Haris, produk itu juga telah menerima pensijilan Veterinary Health Mark (VHM) daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, sekali gus melayakkan Aris Burger untuk menembusi pasaran antarabangsa.
”Kami sudah menerima permintaan tinggi dari luar negara termasuk Turki, Dubai, dan Nepal. Malah, sampel produk ini telah dibawa sehingga ke kem pangkalan Gunung Everest dan mendapat maklum balas yang sangat positif.
”Walaupun hasil kajian UPM menunjukkan produk ini mampu bertahan selama 17 bulan, kami mengisytiharkan jangka hayat selama 12 bulan dalam keadaan sejuk beku (-18 darjah Celsius) bagi menjamin kualiti terbaik,” jelasnya.

Pengasas Aris Burger, Datuk Haji Haris Embong.
Mengulas mengenai kapasiti pengeluaran, Haris memaklumkan pihaknya kini dalam proses berpindah ke kilang baharu yang lebih besar menjelang tahun depan.
”Dengan kilang sedia ada di MARA, kami mampu mengeluarkan 150,000 biji burger RTE sebulan dalam satu syif. Namun, dengan kilang baharu yang menggunakan teknologi automasi sepenuhnya nanti, kami menyasarkan peningkatan pengeluaran sehingga 10 kali ganda.
”Langkah ini juga sebahagian daripada persediaan Aris Burger untuk menuju ke pasaran Tawaran Awam Permulaan (IPO) dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, bagi membawa jenama Malaysia ke persada global,” katanya lagi.
Kini, produk RTE Aris Burger yang merangkumi variasi daging dan ayam boleh didapati di pasar raya terkemuka, rangkaian kedai serbaneka termasuk 7-Eleven (melalui label OEM), serta platform dalam talian seperti TikTok Shop pada harga bermula RM7.90 seunit




