Ara Tetap Positif Walau Lagu “Sudah” Tidak Lolos Separuh Akhir Muzik Muzik 39
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Penyanyi muda yang semakin meningkat, Nurfarrah Izzatie Johari atau lebih dikenali sebagai Ara, menerima dengan hati terbuka apabila single terbarunya, Sudah, gagal mara ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 39.
Meskipun kecewa, Ara percaya pada rezeki dan tidak putus asa untuk terus berkarya dalam industri muzik tanah air.
“Saya sedikit kecewa kerana sudah lama berehat daripada beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL). Namun, saya percaya pada rezeki dan belum tiba masa saya untuk kembali ke pentas tersebut,” kata Ara ketika ditemui dalam sidang media Konsert Rentas Masa yang diadakan di Padi House, semalam.
“Saya serahkan segalanya kepada undian. Kalau tidak layak, itu bermakna belum rezeki. Mungkin undian tidak mencukupi untuk membawa Sudah ke separuh akhir.”
Ara turut mengakui peminatnya telah berusaha melakukan undian namun menyedari persaingan ketat dengan lagu-lagu lain.
“Mungkin single Sudah kurang menonjol berbanding karya artis lain. Kita terima seadanya,” tambahnya lagi.
Selain Sudah, single lain Ara bertajuk Menjaga Jodoh Orang Lain juga tidak memenuhi syarat Muzik Muzik 39 kerana komposernya bukan warganegara Malaysia.
Lagu tersebut adalah hasil ciptaan komposer Indonesia, Ilham Baso, yang terkenal dengan lagu-lagu popular seperti Bukan Dia Tapi Aku yang dinyanyikan oleh Judika.
Walaupun tidak layak bertanding, Ara melihat Menjaga Jodoh Orang Lain sebagai percubaan muzik baru yang memberi kelainan pada karier seninya.
“Saya tiada masalah dengan lagu ini kerana ia memang eksperimen. Saya tidak pernah buat lagu galau dan saya hendak cuba. Jika diterima baik, mungkin kita boleh teruskan dengan genre sebegini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ara turut berkongsi keterujaannya untuk beraksi di Konsert Rentas Masa – Satu Evolusi Muzik yang bakal berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada 31 Disember 2024.
Konsert yang bertemakan evolusi muzik ini akan membawa penonton menghayati perjalanan muzik dari era 60-an hingga ke era moden.
“Konsert ini sangat unik kerana ia menggabungkan artis dari pelbagai generasi. Ini adalah peluang yang jarang bagi saya untuk berkongsi pentas dengan nama besar seperti DJ Dave, Datuk Awie, dan Datuk Jefridin,” katanya penuh semangat.
Konsert Rentas Masa dijangka memeriahkan sambutan tahun baru dengan persembahan ikonik yang membawa nostalgia dan menyegarkan memori peminat muzik.
Menyertai konsert ini memberi peluang buat Ara untuk menampilkan bakatnya di hadapan khalayak luas dan berkolaborasi dengan legenda-legenda muzik tempatan.
Penjualan Tiket awal (Early Bird) bermula 11 November 2024 di laman web ilassotickets.com.