Ara Johari Tampil Berbeza dengan Zapin Malam Raya, Gabung Dialek Negeri Sembilan & Kelantan
- oleh Mohd Indera
- 6 hari lalu

Penyanyi terkenal, Ara Johari, tampil dengan kelainan tahun ini apabila mempersembahkan Zapin Malam Raya, sebuah lagu raya berentak zapin yang unik kerana menggabungkan elemen tradisional dengan sentuhan dialek Negeri Sembilan dan Kelantan.
Lagu ciptaan Affan Mazlan dan Syafiq Al Gambus ini bukan sahaja memperlihatkan sisi baru Ara Johari, tetapi juga menampilkan kumpulan pelawak Pantai Timur, Trio Latah, sebagai penyanyi undangan.
Menurut Ara, dia sebenarnya sudah merancang untuk melancarkan lagu raya tahun ini tetapi sukar menemui lagu yang sesuai.
Namun, pertemuannya dengan Affan Mazlan baru-baru ini membuahkan hasil apabila lagu Zapin Malam Raya terhasil dalam masa yang singkat.
“Ini kali pertama saya membawakan lagu berirama Malaysia. Mungkin kedengarannya sedikit berbeza kerana suara saya lebih sinonim dengan genre rock. Tetapi saya sangat teruja kerana lagu ini turut menampilkan dialek Negeri Sembilan dan Kelantan, yang menjadikan ia lebih menarik,” katanya.
Lagu ini membawa kisah seorang suami yang gembira apabila tiba gilirannya untuk pulang beraya ke kampung halamannya.
Penggunaan dialek negeri bukan sahaja menambah elemen humor, tetapi juga menghidupkan suasana ceria dalam lagu.
Dalam pada itu, muzik video Zapin Malam Raya kini sedang menjalani penggambaran dan dijangka boleh ditonton pada minggu hadapan.
Lagu ini akan diedarkan oleh Universal Music Malaysia dan boleh didengari di semua platform digital bermula 19 Mac.