Ikuti Kami:

Aplikasi StudentQR: Transformasi Digital Pengurusan Murid di Seluruh Sekolah Pahang

Aplikasi StudentQR: Transformasi Digital Pengurusan Murid di Seluruh Sekolah Pahang

Negeri Pahang melakar sejarah dalam dunia pendidikan apabila muncul sebagai negeri pertama di dunia yang melaksanakan penggunaan Kod QR secara menyeluruh sebagai identiti rasmi murid di sekolah bagi memperkukuh pembangunan karakter dan sahsiah.

Inisiatif di bawah Program Adat dan Identiti Murid Pahang itu menggunakan aplikasi StudentQR sebagai platform digital utama bagi merekod amalan baik, penglibatan budaya, serta memudahkan pengurusan sekolah termasuk sistem pembayaran tanpa tunai.

Majlis pelancaran program bersejarah itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Jaxer Digital Sdn Bhd, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Dato’ Seri Setia Hajjah Meriam binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Baginda bertitah, penggunaan lencana atau kad identiti Kod QR ini bukan sekadar inovasi teknologi, sebaliknya ia adalah satu identiti pendidikan berterusan bagi memantau perkembangan nilai murid secara konsisten di sekolah mahupun di rumah.

“Bermula tahun 2027, penggunaan Lencana QR atau Kad QR ID Murid disarankan untuk dilaksanakan secara menyeluruh di semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan di Pahang sebagai langkah penambahbaikan kepada sistem sedia ada,” titah baginda semasa majlis perasmian tersebut, di sini pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Tuan Haji Ahmad Zamri bin Md Isa berkata, program ini selari dengan hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menekankan pembinaan karakter dan penggunaan teknologi secara beretika.

“Fokus utama kita bukan semata-mata pada teknologi, tetapi pembinaan insan. Melalui sistem ini, amalan baik murid boleh direkod dan dihargai, manakala ibu bapa pula dilibatkan secara langsung dalam memantau perkembangan sahsiah anak-anak mereka.

“Sebagai tambahan, kita juga merangka Anugerah Karakter Murid Negeri Pahang yang berteraskan tokoh pahlawan negeri seperti Mat Kilau dan Tok Gajah bagi menyuntik motivasi serta jati diri dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Menerusi aplikasi StudentQR, setiap penglibatan murid dalam aktiviti adat dan budaya akan direkodkan, sekali gus meletakkan Pahang sebagai perintis global dalam memartabatkan warisan negeri melalui pemodenan sistem pendidikan digital.

Komen
Loading...