Ikuti Kami:

Aplikasi Drama Pendek Pertama Malaysia, Do Drama Kini Boleh Dimuat Turun Percuma

Aplikasi Drama Pendek Pertama Malaysia, Do Drama Kini Boleh Dimuat Turun Percuma

Dari kiri ke kanan: Wan Sariah Wan Jaafar (Penerbit Paku Hatiku), Aidilfitri Mohamed Yunos (Pengarah Paku Hatiku), Mia Lim (Pengurus Besar Drama Byte), Eric Tam (Pengarah Drama Byte), Pekin Ibrahim (Penerbit Rumah Pusaka), dan Mona Allen (Pelakon Utama Magika! Bulan Mengambang).

Rakyat Malaysia kini boleh menikmati drama bersiri tempatan dalam bentuk baharu yang lebih ringkas dan padat menerusi aplikasi Do Drama, platform drama pendek pertama di negara ini yang kini boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play Store.

Dibangunkan oleh syarikat tempatan, Drama Byte Sdn Bhd, Do Drama memperkenalkan konsep tontonan drama bersiri dalam format menegak khusus untuk peranti mudah alih, sejajar dengan trend global dan gaya hidup moden pengguna masa kini yang serba pantas.

Pengarah Drama Byte Sdn Bhd, Eric Tam berkata, aplikasi ini bukan sekadar menawarkan hiburan, malah mencipta satu pengalaman baharu dalam menyampaikan cerita tempatan yang dekat dengan hati penonton.

“Dengan pelancaran Do Drama, kami ingin memberi nafas baharu kepada industri drama tempatan. Format pendek dan mudah diakses ini membolehkan pengguna menonton di mana-mana, pada bila-bila masa – sama ada semasa menunggu, berulang-alik atau berehat sebelum tidur,” katanya.

Menurut beliau, aplikasi ini menyasarkan semua golongan penonton termasuk generasi muda yang cenderung kepada kandungan yang singkat dan interaktif, namun tetap berkualiti dari segi naratif dan produksi.

Pelancaran rasmi aplikasi hari ini turut memperkenalkan lapan drama bersiri pendek original hasil kerjasama bersama penggiat industri tempatan.

Antara siri yang ditampilkan termasuk Paku Hatiku arahan Aidilfitri Mohamad Yunos, serta dua lagi siri terbitan Pekin Ibrahim, iaitu Rumah Pusaka dan Magika! Bulan Mengembang, yang turut menampilkan pelakon Mona Allen.

Setiap episod yang disiarkan berdurasi hanya beberapa minit, namun mampu menampilkan penceritaan yang kuat dan menyentuh emosi. Kandungan ditawarkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Cina, selari dengan kepelbagaian budaya Malaysia.

Eric Tam turut menjelaskan bahawa aplikasi ini dilengkapi ciri-ciri interaktif termasuk sari kata pelbagai bahasa, sistem ganjaran penonton serta fungsi ulasan secara langsung (real-time comment) yang membolehkan pengguna berkongsi reaksi dan berinteraksi semasa tontonan.

Dengan anggaran populasi Malaysia mencecah 35.9 juta pada 2025, dan potensi kadar penembusan pengguna antara lima hingga 10 peratus, Do Drama dijangka mampu menjana hasil tahunan melebihi RM2 bilion melalui langganan dan pembelian dalam aplikasi.

“Potensi ini bukan sahaja memberi impak besar kepada ekosistem hiburan digital, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada bakat tempatan dalam bidang penulisan, pengarahan dan lakonan,” tambah Tam.

Do Drama kini boleh dimuat turun secara percuma di kedua-dua platform utama, membolehkan rakyat Malaysia menyaksikan kisah-kisah menarik tempatan hanya di hujung jari.

Komen
Loading...