Apa Yang Cantik di Luar Juga Perlu Cantik di Dalam – Rico Rinaldi
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu

Pereka fesyen terkenal, Rico Rinaldi, baru-baru ini mengulas mengenai fenomena harga tinggi dalam dunia fesyen, terutamanya jenama-jenama yang menawarkan produk pada harga yang sangat tinggi.
Walaupun harga yang ditawarkan kelihatan agak mahal, beliau percaya bahawa harga tersebut harus sejajar dengan kualiti dan nilai yang ditawarkan oleh produk itu sendiri.
Menurut Rico, sebagai seorang pereka fesyen, beliau amat menekankan bahawa harga yang tinggi harus mencerminkan kualiti fabrik yang digunakan serta ketelitian dalam jahitan.
Kualiti bukan hanya boleh dilihat pada bahagian luar pakaian, tetapi juga pada aspek dalamannya.
Sebagai contoh, fabrik yang digunakan perlu diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi yang tahan lama, selesa dipakai, dan dapat mengekalkan bentuk serta warna sepanjang masa.
“Sebagai pereka, saya menekankan bahawa harga yang mahal perlu mencerminkan kualiti fabrik dan jahitan yang digunakan. Apa yang cantik di luar juga perlu cantik di dalam,” katanya.
Foto Oleh : Hariz Amsyar
Beliau menambah bahawa kesempurnaan dalam jahitan adalah sangat penting kerana jahitan yang kemas dan tepat akan memastikan pakaian itu tahan lama dan memberi keselesaan kepada pemakai.
Selain itu, Rico juga mengingatkan bahawa pelanggan sering kali membuat pertimbangan berdasarkan rekaan yang menawan, namun mereka tidak seharusnya melupakan kepentingan kualiti material yang digunakan.
“Kecantikan sesuatu rekaan itu bukan sahaja terletak pada penampilannya, tetapi juga pada bagaimana ia dipakai dan ketahanan produk tersebut. Pereka harus memastikan bahawa produk yang mereka tawarkan adalah hasil kerja yang berkualiti tinggi,” jelasnya.
Rico juga menjelaskan bahawa fesyen bukan sekadar soal penampilan luar tetapi adalah tentang pengalaman yang diperoleh dari pemakaian.
Oleh itu, beliau percaya bahawa harga yang tinggi adalah wajar jika produk itu memberikan nilai lebih dari segi kualiti, keselesaan, dan ketahanan.
Rico Rinaldi ditemui media selepas majlis perlancaran Koleksi Summeraya RTW 2025 di Menara Ken TTDI pada Khamis.
Koleksi ini menampilkan rekaan eksklusif, termasuk baju kurung moden, kurta dan tas tangan yang dihasilkan daripada fabrik berkualiti tinggi.
Koleksi ini turut menawarkan pelbagai pilihan potongan menarik serta saiz sehingga 3XL menjadi saiz yang paling banyak mendapat penjualan tinggi.
Harga koleksi Summeraya 2025 bermula dari RM245 hingga RM345, menawarkan nilai yang sangat berpatutan dengan kain berkualiti dan rekaan moden.
Selain pakaian, Rico turut memperkenalkan koleksi beg tangan Raya dengan enam rekaan eksklusif yang direka khas untuk dipadankan dengan Summeraya RTW 2025.
Koleksi Summeraya 2025 kini boleh didapati di butik rasmi Rico Rinaldi serta platform dalam talian untuk mereka yang ingin tampil anggun dan elegan pada musim perayaan ini.