Ikuti Kami:

Apa itu “Smart Lane”?, Ini Tip Guna “Smart Lane” Dengan Betul

Apa itu “Smart Lane”?, Ini Tip Guna “Smart Lane” Dengan Betul

Apa itu “Smart Lane”?, kita sering mendengar istilah ‘Smart Lane’ di media sosial mahupun laporan berita.

Smart Lane dilihat begitu popular sewaktu perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

Akan tetapi, tahukah anda mengapa Smart Lane diwujudkan dan kenapa kebanyakannya hanya ada di musim perayaan? Dalam masa yang sama, bagaimana cara untuk menggunakan laluan tersebut?

PLUS Malaysia telah membuat video penerangan berkenaan kewujudan Smart Lane yang sering menjadi perdebatan orang awam.

Smart Lane adalah pengaktifan lorong paling kiri di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di beberapa laluan kritikal di sepanjang lebuh raya.

Inisiatif ini bertujuan untuk menambah kapasiti lorong di lebuh raya terutamanya di laluan kritikal. Tindakan ini akan menyuraikan aliran trafik dan sekali gus mengurangkan kesesakan di atas jalan raya.

Tip guna Smart Lane
Pengguna lebuh raya terlebih dahulu perlu memberi perhatian semasa menghampiri lokasi Smart Lane dan patuhi arahan papan tanda.

Seterusnya, sebelum memasuki lorong itu, anda perlu beri isyarat awal dan boleh tukar lorong dengan berhati-hati.

Bila sudah berada di lorong tersebut, pandulah kenderaan pada kelajuan yang sesuai dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

Sebagai langkah keselamatan, sentiasa pastikan jarak yang selamat dengan kenderaan hadapan.

Sebelum berakhirnya lorong itu, anda perlu memberi isyarat awal untuk tukar ke lorong perlahan.

Perlu diingatkan bahawa penggunaan lorong kecemasan tidak dibenarkan selain dari lokasi dan waktu operasi yang telah diumumkan.

Bukan setakat musim perayaan sahaja, ini adalah waktu-waktu Smart Lane diaktifkan
Untuk makluman, Smart Lane hanya dibuka di beberapa kawasan pada waktu tertentu iaitu:

1. Ketika waktu-waktu puncak di lokasi tertentu

2. Kerja penyelenggaran jalan

3. Musim perayaan di lokasi-lokasi tertentu, dan;

4. Sewaktu berlaku kejadian yang berada di luar jangkaan

Walau bagaimanapun, pengaktifan laluan Smart Lane ini bergantung pada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak berkuasa sebelum dilaksanakan.

Bagaimana nak kenalpasti Smart Lane?
Pengguna boleh mengenalpasti permulaan laluan Smart Lane melalui papan tanda yang diletak di bahu jalan.

Selain itu, anda juga boleh melihat pengawas trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit.

Komunikasi dan hebahan berkenaan pembukaan laluan ini juga akan dimaklumkan menerusi aplikasi PLUS, akaun X PLUS Trafik serta papan tanda elektronik yang berada di jalan.

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya turut disarankan untuk menggunakan aplikasi navigasi seperti aplikasi PLUS, Waze atau Google Maps bagi merancang perjalanan dengan lebih lancar.

Sumber
PLUS, SiakapKeli
Komen
Loading...