Ikuti Kami:

Anwar Sedia Isytihar Harta Bila-bila Masa

Anwar Sedia Isytihar Harta Bila-bila Masa

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk mengisytiharkan harta pada bila-bila masa jika diminta.

“Kalau ada pihak minta esok isytihar harta, esok juga saya buat… baru boleh jadi pemimpin dan contoh,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau turut menegaskan bahawa pengisytiharan harta adalah salah satu langkah penting dalam memastikan tatakelola yang baik, khususnya dalam usaha membasmi rasuah. Anwar juga mengkritik pihak yang enggan mengisytiharkan harta dan menjadikannya isu dendam.

Sebelum ini, Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan bahawa pengisytiharan harta hanya perlu dilakukan oleh anggota pentadbiran seperti yang diamalkan oleh kerajaan terdahulu.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya kini giat memerangi rasuah dan penyelewengan. Menurut beliau, terdapat pihak yang bercakap mengenai Melayu, agama, dan Islam, tetapi pada masa sama merompak kekayaan negara.

“Setiap kali kita semak kontrak, ada sahaja kebocoran dan kehilangan dana. Negara mana mampu maju jika penyelewengan berlaku, dan ini melibatkan ratusan juta dan bilion,” tambahnya.

Komen
Loading...