
Penyanyi berbakat baharu, Anwar Amzah, menganggap peluang menjayakan persembahan pembukaan bagi showcase Janji With Dayang yang berlangsung di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sebagai detik paling bermakna sepanjang kerjaya seninya.
Bukan sekadar pengalaman berharga, malah Anwar turut menyimpan hasrat untuk berduet dengan penyanyi tersohor, Dayang Nurfaizah, yang menjadi idola ramai penyanyi baharu termasuk dirinya.
“Dayang adalah figura besar dalam industri seni. Kalau diberi peluang berduet dengannya, saya rasa seperti orang paling bertuah. Suara dan auranya berada di kelas tersendiri, malah saya yakin banyak perkara yang boleh saya pelajari daripada beliau.
“Saya juga kagum dengan reputasi dan perkembangan kerjayanya. Dayang sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan, itu menjadikan beliau contoh terbaik buat generasi baru,” katanya.
Selain memuji kehebatan Dayang, Anwar turut bersyukur kerana diberi ruang untuk beraksi bersama ramai penyanyi hebat apabila bertindak sebagai pengiring gitar. Antara artis yang pernah bergandingan dengannya termasuk Nadeera, Ernie Zakri, Hael Husaini dan Dolla, selain nama besar Indonesia seperti Raisa, Datuk Seri Rossa, Bernadya dan Fabio Asher.
Menurutnya, setiap pengalaman tersebut memberi peluang untuknya menimba ilmu serta memahami bagaimana artis berpengalaman mengawal pentas dan berinteraksi dengan penonton.
“Setiap kali berada di belakang mereka, saya bukan sekadar bermain muzik tetapi turut belajar banyak perkara. Ia membuka mata saya tentang standard sebenar dalam industri hiburan.
“Setiap penyanyi ada keunikan tersendiri dan itu membuatkan saya terdorong untuk mencari identiti saya sendiri,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, anak jati Kluang, Johor itu turut berkongsi rasa terharu apabila single sulungnya berjudul Imaginasi mendapat sambutan positif.
“Syukur alhamdulillah, Imaginasi menerima maklum balas baik sejak dilancarkan. Lagu ini dekat dengan jiwa saya kerana ia menceritakan tentang keberanian untuk bermimpi dan mengejar cita-cita tanpa rasa takut.
“Ramai yang berkongsi bahawa lirik lagu ini memberi mereka semangat. Itu membuatkan saya lebih yakin dan bersemangat untuk terus berkarya,” katanya.
Untuk rekod, Anwar memiliki lebih 12 tahun pengalaman sebagai YouTuber muzik yang mengetengahkan teknik fingerstyle. Persembahannya sering mendapat jutaan tontonan dan berjaya membuka jalan buat dirinya melangkah lebih jauh dalam industri hiburan tanah air.