Anugerah Perdana NGO Malaysia Jadi Pemangkin Gerakan NGO
- oleh MDaily Editor
- 24 Dec 2025 1:23 am
Antara penerima utama pada malam tersebut ialah Yayasan Nurjiwa, sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, yang telah dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Yayasan Terbaik (Kebajikan Komuniti).
Gabungan NGO-NGO Malaysia dengan kerjasama Yayasan Generasi Malaysia dan Pusat Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM Press) telah menganjurkan Majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia bertempat di Grand Ballroom, Sunway Resort Hotel, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Anugerah Perdana NGO Malaysia, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff, menyifatkan majlis ini sebagai satu pengiktirafan terhadap pengorbanan dan ketekunan penggerak NGO yang bekerja tanpa mengharapkan publisiti.
Menurut beliau, NGO memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat seimbang kerana mereka paling memahami cabaran sebenar di peringkat akar umbi.

“Dalam banyak keadaan, merekalah yang paling awal turun ke lapangan dan paling akhir meninggalkan komuniti. Usaha mereka dalam bidang kebajikan, pendidikan, dan pembangunan komuniti melengkapkan dasar kerajaan serta menguatkan ekosistem sokongan sosial negara,” ujar beliau dalam ucapan perasmian tersebut.
Majlis ini bertujuan memberi pengiktirafan nasional kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbang secara konsisten dalam pembinaan masyarakat sejahtera merangkumi pelbagai bidang seperti kebajikan, pendidikan, dan kesukarelawanan.
Majlis berprestij tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Kehadiran beliau mencerminkan sokongan berterusan kepimpinan negara terhadap peranan strategik NGO sebagai rakan pembangunan sosial yang melengkapi dasar kerajaan.
Mengangkat tema ‘Suara Komuniti, Inspirasi Negara’, Buletin IMPAK NGO MALAYSIA telah dilancarkan secara rasmi sebagai pengisian utama selain daripada acara penyampaian anugerah.
Tan Sri Dr. Abdul Latiff menegaskan bahawa penerbitan ini merupakan langkah tepat pada masanya untuk menangani cabaran kompleks seperti isu tadbir urus dan ketelusan melalui dokumentasi yang berwibawa.
Secara keseluruhannya, majlis ini mencerminkan komitmen penganjur dalam membina Malaysia yang inklusif dan berdaya tahan berasaskan nilai kemanusiaan.




