“Anugerah Ini Memang Untuk Peminat Saya” – Daiyan Trisha
- oleh Mohd Indera
- 4 Aug 2025 1:00 am

Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha mencipta sejarah apabila mengungguli Anugerah Selebriti Stailo dan meraih trofi utama, Ultimate Award dalam Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) pada malam kemuncak yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Dewan Putra, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.
Anugerah Ultimate AMT 2025 merupakan pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada figura paling berpengaruh berdasarkan impak positif, momen tular, serta sokongan dan keterlibatan awam sepanjang tahun ini.
Menurut Daiyan, trofi yang digenggamnya bukan miliknya seorang, sebaliknya milik ribuan peminat yang setiap hari meluangkan masa mengundi dan memberikan sokongan tanpa henti.
“Saya sangat teruja dan sangat bersyukur. Tapi paling utama, saya rasa anugerah ini memang untuk peminat saya. Mereka yang undi hari-hari, tak putus-putus. Mereka buat semua ini jadi kenyataan,” katanya.
Daiyan mengakui dia sanggup mengetepikan kepenatan dan kekangan masa demi hadir ke majlis anugerah tersebut semata-mata untuk menghargai usaha peminat yang tidak pernah berhenti menyokong.
“Hari ini saya memang penat sangat. Baru turun flight dari Bangkok, terus kena bersiap dan mekap. Tapi saya tetap datang sebab saya tahu mereka dah undi saya setiap hari. Saya datang untuk mereka,” katanya.
Meskipun kerap dikecam, Daiyan memilih untuk tidak membalas, sebaliknya menumpukan sepenuh tenaga kepada kerjayanya dan menghargai mereka yang terus setia menyokongnya.
Pemenang ditentukan sepenuhnya berdasarkan undian atas talian oleh peminat menerusi laman web rasmi di www.tonton.com.my. Pengundian dibuka bermula 5 Julai dan ditutup pada 31 Julai lalu.
Melodi yang dimulakan sejak 1992 adalah sebuah program infotaintment pertama yang memberikan informasi terkini dan sensasi dunia hiburan tanah air.