Ikuti Kami:

Anugerah Hati: Suki Low & IAC Satukan Muzik dan Kesedaran Autisme dalam Lagu Raya

Anugerah Hati: Suki Low & IAC Satukan Muzik dan Kesedaran Autisme dalam Lagu Raya

Penyanyi terkenal Suki Low berganding bahu dengan IDEAS Autism Centre (IAC) untuk menghasilkan sebuah lagu raya penuh inspirasi bertajuk Anugerah Hati, sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan keterangkuman bagi individu dalam spektrum autisme.

Kempen ini dilancarkan secara rasmi pada majlis berbuka puasa di Bizmilla Wedding Hall, One City, Subang, yang turut dihadiri oleh rakan kongsi, penaja, serta keluarga IAC.

Intipati utama kempen ini adalah pelancaran lagu raya dan video muzik yang menyentuh hati, menampilkan Suki Low, kumpulan budaya Alun Tradisi, serta Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz, yang turut mencemar duli dalam video tersebut.

Dirakam di IDEAS Autism Centre di Nilai, video muzik Anugerah Hati memaparkan keceriaan kanak-kanak autistik bersama masyarakat dalam meraikan Syawal.

Melalui gabungan melodi yang menggembirakan dan visual yang bermakna, karya ini membawa mesej penerimaan, kasih sayang, dan kuasa transformasi dalam amalan memberi.

Menurut Suki Low, keterlibatannya dalam projek ini lahir daripada keinginannya untuk mencipta perubahan positif melalui muzik.

“Saya berbesar hati untuk mempersembahkan Anugerah Hati, sebuah lagu yang didedikasikan kepada kanak-kanak dengan autisme dan kepelbagaian yang kita boleh cipta bersama. Lagu ini adalah rayuan mesra saya — satu permohonan ringan untuk kita mendengar dengan kasih sayang, mencintai dengan lebih mendalam, dan membina dunia di mana cahaya setiap anak bersinar terang dan bebas,” ujar Suki.

Beliau juga memilih irama Joget sebagai elemen utama dalam lagu ini kerana semangatnya yang ceria dan kaitannya dengan akar budaya Melayu, yang melambangkan kehidupan serta kebersamaan.

Pengarah IDEAS Autism Centre, Puan Mazrina Arifin, menzahirkan harapan agar lagu ini dapat menggerakkan lebih ramai pihak untuk menyokong komuniti autistik di Malaysia.

“Anugerah Hati sangat bermakna bagi kami. Dengan mengangkat suara dan senyuman anak-anak serta guru-guru kami, kami berharap dapat menginspirasi masyarakat untuk lebih inklusif dan penuh kasih sayang. Setiap sumbangan membantu kami dalam menaja terapi, melatih pakar, dan memperluaskan jangkauan kepada lebih ramai keluarga yang memerlukan,” katanya.

Kempen Anugerah Hati turut mendapat sokongan daripada Lee & Poh Partnership, Enotech, Mar’s Kuala Lumpur, Kitsui, serta para penderma yang komited dalam meningkatkan kesedaran tentang autisme.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, IAC mengajak rakyat Malaysia untuk menonton dan berkongsi video muzik Anugerah Hati di YouTube, serta menstrim lagu tersebut di platform digital utama bermula 19 Mac 2025.

Ditubuhkan pada tahun 2012, IDEAS Autism Centre menyediakan pendidikan dan penjagaan khusus kepada kanak-kanak autistik, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.

Dengan pusat di Rawang, Nilai, dan Port Dickson, IAC kini menyokong 90 kanak-kanak dalam membina kehidupan yang lebih bermakna.

Raya tahun ini, raikan dengan kasih sayang dan keterangkuman – kerana setiap hati berhak bersinar.

Komen
Loading...