Anugerah BOH Cameronian 2026: 81 Penyertaan Bukti Kepesatan Industri Seni Tempatan
- oleh MDaily Editor
- 10 Feb 2026 11:29 pm
Anugerah Seni Cameronian BOH ke-21 (Cammies) menyaksikan petanda positif terhadap pemulihan dan kepesatan industri seni persembahan tanah air dengan menerima sebanyak 81 penyertaan bagi edisi tahun ini.
Penganjur acara, Kakiseni dan BOH Plantations Sdn Bhd memaklumkan bahawa jumlah penyertaan tersebut merangkumi 39 kategori melibatkan disiplin teater, tarian, muzik dan teater muzikal.
Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen berkata jumlah penyertaan yang menggalakkan itu memperlihatkan perubahan ketara dalam cara artis tempatan bekerja, bereksperimen dan berhubung dengan audiens dalam landskap yang semakin dinamik.
“Cammies tahun ini bukan sekadar mengiktiraf kecemerlangan artistik, tetapi juga mengenai mewujudkan ‘penghadang’ yang melindungi kepengarangan, tenaga kerja dan niat kreatif dalam dunia di mana kecerdasan buatan (AI) serta teknologi mula membentuk cara kita bercerita,” katanya di sidang media di Teater Eksperimental, Kampus Lakeside Universiti Taylor, di sini, hari ini.

Bertemakan “COLLABeyond: Cipta Bersama Masa Depan”, anugerah edisi ke-21 ini menekankan kepentingan pengawasan kreatif dan penggunaan teknologi yang beretika dalam penghasilan karya seni.
Daripada keseluruhan penyertaan, sebanyak 44 produksi telah terpilih sebagai calon akhir yang terdiri daripada 17 produksi teater, 10 tarian, sembilan muzik dan lapan teater muzikal.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, Jason Foo berkata sokongan berterusan syarikat terhadap anugerah itu selama lebih dua dekad adalah selaras dengan matlamat korporat mereka, ‘Brewing for Tomorrow’.
“Adalah penting untuk memastikan anugerah ini dapat menyokong dan mengukuhkan masa depan seni persembahan di Malaysia secara bermakna, terutamanya apabila landskap kreatif kini berkembang seiring dengan teknologi baharu,” jelas beliau.
Acara kemuncak malam penganugerahan dijadualkan berlangsung pada 3 Mei depan di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJPAC).
Senarai penuh pencalonan boleh didapati melalui laman web rasmi Kakiseni di www.kakiseni.org/awards.




