Ikuti Kami:

ANSARA: Sesi ‘Unplugged’ Bersama TPM Himpun Ribuan Gen MARA

ANSARA: Sesi ‘Unplugged’ Bersama TPM Himpun Ribuan Gen MARA

Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA Malaysia) membuktikan pengaruhnya sebagai wadah teknokrat negara apabila berjaya menghimpunkan lebih 2,700 ahli profesional dalam sesi eksklusif ‘Unplugged’ bersama Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, hari ini.

Program yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) itu dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun MARA ke-60, sekali gus menjadi platform dialog terbuka antara kepimpinan tertinggi negara dengan produk keberhasilan ekosistem MARA.

Presiden ANSARA Malaysia, Ts. Taufiq bin Hussien berkata, penglibatan aktif ahli dalam sesi tersebut mencerminkan keikhlasan komuniti ‘Gen MARA’ dalam membantu kerajaan memperkukuh agenda pembangunan Bumiputera.

Presiden ANSARA Malaysia, Ts. Taufiq bin Hussien.

“Apa yang menarik perhatian saya dan juga Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid adalah keikhlasan soalan yang dibangkitkan. Walaupun ada soalan yang ‘panas’, ia tetap disampaikan dengan penuh sopan dan profesional.

“Malah, beberapa isu operasional yang dibangkitkan oleh ahli terus mendapat maklum balas dan penyelesaian segera daripada Timbalan Perdana Menteri. Inilah impak yang kita mahukan, platform yang membawa nilai tambah kepada ahli,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Taufiq turut melahirkan rasa bangga apabila melihat penglibatan generasi muda dalam menggerakkan program berskala besar itu. Menurut beliau, Pengarah Program bagi pertandingan pidato yang menjadi pengisi acara tersebut hanya berusia 19 tahun.

“Kita sudah mula melibatkan generasi pelapis. Ini bukan lagi masanya orang lama sahaja yang menguruskan persatuan. Kita mahu semangat ANSARA ini diteruskan oleh mereka yang berumur 20-an,” tambah beliau.

Dalam majlis yang sama, ANSARA turut melancarkan Skuad ANSARA, sebuah badan sukarelawan rasmi yang akan menjadi tunjang sokongan program kemanusiaan dan teknikal.

Timbalan Presiden ANSARA, Puan Imelda Maya binti Haris mendedahkan bahawa sambutan terhadap skuad ini amat luar biasa apabila pendaftaran sukarelawan mencecah hampir 800 orang dalam tempoh yang singkat.

Timbalan Presiden ANSARA, Puan Imelda Maya binti Haris.

“Kami pada mulanya hanya menyasarkan 200 orang, tetapi dalam masa dua jam sahaja slot sudah penuh. Sukarelawan kami merangkumi pelbagai peringkat umur, malah ada yang berusia 62 tahun masih bersemangat untuk menyumbang tenaga,” jelas Imelda.

Sebagai persediaan masa hadapan, majlis tersebut turut menyaksikan pra-pelancaran Karnival Sukan ANSARA 2027, sebuah temasya dwi-tahunan yang dijangka akan mengumpulkan ribuan alumni dari seluruh negara bagi memperkukuh ukhuwah merentas generasi.

Ahli Jawatankusa ANSARA Malaysia.

Walaupun menyifatkan program hari ini sebagai kejayaan besar, Taufiq menyeru lebih ramai alumni MRSM yang dianggarkan berjumlah 230,000 orang di seluruh negara untuk tampil mendaftar secara rasmi sebagai ahli.

“Setakat ini, ahli berdaftar adalah sekitar 30,824 orang. Kita mahu suara yang lebih kuat. Dengan menyertai ANSARA, kita boleh menjadi rakan strategik yang lebih efektif kepada kerajaan melalui kepakaran, masa, dan tenaga yang kita miliki,” katanya.

Dalam majlis yang penuh bersejarah itu, ANSARA Malaysia turut memperkenalkan RamSal, seekor burung hantu yang dipilih sebagai maskot rasmi persatuan.