
Festival makanan dan gaya hidup terbesar di Lembah Klang iaitu Anjung MalaysiaKu X Foodie Fiesta 2025 julung kali diadakan sempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Usahawan Negara (HUN) 2025.
Anjung MalaysiaKu X Foodie Fiesta 2025 bakal menjadi platform besar buat usahawan tempatan apabila menyediakan hampir 300 lot niaga bersempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Usahawan Negara (HUN) 2025.
Festival julung kali yang dianjurkan Raydiates Blue Sdn. Bhd. dengan kerjasama Foodie Media (KL Foodie) itu akan berlangsung bermula 12 hingga 16 September di perkarangan parkir Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pengumuman rasmi penganjuran festival ini dibuat dalam sidang media yang diadakan pada 13 Ogos lalu di Saloma KL dengan kehadiran wakil penganjur, rakan strategik serta media tempatan.
Rayme Zainal (kiri) dan Pinn Yang merupakan penganjur bersama Anjung MalaysiaKu X Foodie Fiesta 2025.
Pengarah Urusan Raydiates, Rayme Zainal berkata, penyertaan vendor kini dibuka melibatkan kategori makanan, minuman, fesyen, kraf serta produk gaya hidup, namun tempat adalah terhad dan akan diberikan kepada peserta yang mendaftar awal.
“Anjung MalaysiaKu X Foodie Fiesta 2025 bukan sekadar festival makanan, sebaliknya platform untuk mengangkat usahawan tempatan, mempromosikan budaya Malaysia dan merapatkan jurang antara komuniti perniagaan dengan masyarakat bersempena Hari Malaysia,” katanya.
Beliau menambah, kerjasama strategik dengan Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM) sempena HUN 2025 bakal memberi nilai tambah kerana ia menyediakan peluang perniagaan, jaringan usahawan dan akses pasaran lebih luas.
Penganjur bersama, Pinn Yang yang juga pemilik KL Foodie, turut terlibat secara langsung dalam menjayakan festival tersebut bersama Raydiates Blue.
Selain peluang niaga, festival lima hari itu juga akan dipenuhi pelbagai aktiviti seperti pameran perniagaan tempatan dan antarabangsa, forum bersama ikon industri, pertandingan inovasi, sesi live podcast, demonstrasi masakan serta sambutan ambang Hari Malaysia.
Pengunjung tidak perlu risau tentang kemudahan kerana lokasi penganjuran berdekatan dengan stesen LRT selain tapak parkir yang luas disediakan di sekitar stadium.
Maklumat lanjut mengenai pendaftaran lot niaga boleh diperoleh melalui saluran media sosial rasmi festival atau talian 011-11433286, 013-5086807, dan 012-5518189.