Ikuti Kami:

Andi Bernadee Tampil Dengan Single Terbaharu ‘Siapakah Namamu’

Andi Bernadee Tampil Dengan Single Terbaharu ‘Siapakah Namamu’

Penyanyi dan komposer popular, Andi Bernadee, kembali mencuri perhatian peminat dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Siapakah Namamu, sebuah karya yang mengangkat kisah indah tentang pertemuan cinta tidak diduga.

Lagu ini dihasilkan melalui kerjasama bersama dua nama besar industri muzik tempatan, Kuizz selaku penyusun muzik dan penerbit, serta The T yang menjadi pencetus melodi utama.

Menurut Andi, karya tersebut memberi kelainan dalam perjalanan seninya.

“Lagu ini menceritakan tentang seseorang yang menunggu kehadiran cinta. Akhirnya, cinta itu hadir di depan mata, mempesona dengan wajah ayu, cantik, dan jelita, lalu timbul keinginan untuk berkenalan,” katanya.

Idea Siapakah Namamu tercetus selepas Andi menerima melodi daripada The T yang terus ‘mengikat’ perhatiannya. Bagi Andi, rentak yang dibawa berbeza daripada karya terdahulunya.

Selain menyanyi, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile turut terlibat dalam penulisan lirik bagi menambah sentuhan peribadi.

Proses rakaman berjalan lancar namun memerlukan ketelitian dari sudut teknik vokal, terutamanya pada bahagian melodi yang naik dan turun.

“Saya mahu lagu ini mencerminkan diri saya agar ia dekat di hati pendengar,”

“Melodinya kedengaran mudah tetapi sebenarnya menuntut kawalan suara yang baik,” ujarnya.

Andi turut memuji komitmen Kuizz dan The T yang menjadi tulang belakang penghasilan lagu ini.

“Mereka menjalankan tugas dengan cemerlang. Saya tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama lagi dengan mereka pada masa akan datang,” tambahnya.

Siapakah Namamu boleh didengarkan di semua platform penstriman digital mulai hari ini, manakala muzik video rasmi turut dilancarkan di saluran YouTube rasmi Andi Bernadee.

Komen
Loading...