Ikuti Kami:

Andi Bernadee lancar ‘Aku Nak Kahwin’, Luahan Hati Orang ‘Single’

Andi Bernadee lancar ‘Aku Nak Kahwin’, Luahan Hati Orang ‘Single’

Penyanyi dan penghibur versatil, Andi Bernadee, kembali mencuri perhatian industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Aku Nak Kahwin”.

Karya yang bersifat santai ini diangkat sebagai sebuah ‘anthem’ buat mereka yang masih menanti kehadiran jodoh, selain menyentuh realiti kehidupan yang sering dihadapi oleh golongan bujang di Malaysia.

Mengulas mengenai inspirasi di sebalik lagu tersebut, Andi menjelaskan bahawa “Aku Nak Kahwin” berkisarkan tentang kesediaan seseorang untuk melangkah ke alam perkahwinan, namun masih berdepan dengan ujian jodoh yang belum tiba.

“Lagu ini terasa sangat dekat dengan realiti ramai orang, terutamanya mereka yang sudah lama single. Ia membawa mesej yang jujur dengan lirik yang terus terang (straightforward), menjadikannya mudah untuk dikaitkan dengan pengalaman sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Andi, lagu ini juga hadir sebagai satu nafas baharu dalam landskap muzik semasa yang kini banyak didominasi oleh tema kekecewaan cinta dan kecurangan.

Selain meluahkan keinginan untuk membina ikatan yang halal, lagu ini turut menyentuh isu tekanan sosial dan keluarga yang sering dihadapi generasi muda, terutamanya soalan lazim ‘bila nak kahwin?’ ketika berkumpul bersama sanak-saudara.

“Isu ini memang sudah lama wujud dan masih relevan. Bagi saya, penting untuk kita hadapinya dengan tenang dan sentiasa bergantung kepada sokongan diri sendiri serta orang terdekat,” ujar penyanyi itu lagi.

Dari sudut produksi, “Aku Nak Kahwin” menampilkan kelainan dengan gabungan elemen nyanyian melodi dan rap. Walaupun kedengaran santai, Andi mengakui karya ini tetap memberikan cabaran tersendiri terutama dari segi kawalan pernafasan.

Pelancaran single ini juga merupakan satu kemenangan peribadi buat Andi selepas beliau diuji dengan masalah kesihatan sebelum ini yang memaksa beberapa perancangan seninya tertangguh.

“Tempoh berehat itu memberi ruang untuk saya pulih sepenuhnya dan kini saya kembali dengan semangat yang lebih baik,” jelasnya.

Lagu ini merupakan pembukaan kepada album penuhnya yang akan datang bertajuk “Ding Geding”. Andi berharap agar karya ini dapat menyebarkan aura positif kepada pendengar, tanpa mengira status perkahwinan mereka.

“Status seseorang tidak menentukan kebahagiaan. Sama ada single atau sudah berkahwin, setiap orang ada perjalanan masing-masing,” katanya.

“Aku Nak Kahwin” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula hari ini.