Anak Sabari Baharom Kecewa: ‘Tindakan Suspek Buang Ayah dalam Sungai Sangat Kejam!
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
JITRA – Tindakan kejam suspek yang mencampak Sabari Baharom, bekas pegawai kewangan berusia 62 tahun, ke dalam sungai dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat telah mengejutkan seluruh keluarganya. Kejadian ini disifatkan oleh anak mangsa sebagai sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Memetik Sinar Harian, Muhammad Amir Hakimi Sabari, anak bongsu kepada mangsa yang berusia 25 tahun, tidak dapat berkata-kata ketika dimaklumkan oleh pihak polis mengenai apa yang menimpa bapanya.
“Saya bagaikan hilang kata-kata bila dengar apa yang berlaku,” ujarnya.
Menurut Amir Hakimi, suspek dipercayai seorang kontraktor yang menjalankan kerja pembinaan di sebuah rumah berhampiran kediaman bapanya di Baling. Dia menambah,
“Tindakan suspek terhadap ayah sangat kejam dan keterlaluan sehingga sanggup dia buang ayah dalam sungai. Saya difahamkan ayah juga melayan suspek dengan baik.”
Pada hari kejadian, Muhammad Amir Hakimi turun sendiri ke lokasi pencarian bapanya di Sungai Padang Terap, Wang Tepus, bersama keluarganya. Mereka sekeluarga berharap jasad bapanya dapat ditemui dengan segera.
Sebelum ini, pihak media melaporkan bahawa misteri kehilangan Sabari di Baling telah terungkai selepas pihak polis menahan dua suspek lelaki tempatan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, mengesahkan bahawa kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu telah mengaku mencampak mangsa ke dalam Sungai Padang Terap di Jitra dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.