Anak-Anak Bukan ‘Tikus Makmal’, UPSR dan PT3 Kekal Mansuh – Fadhlina
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan kekal dimansuhkan seperti keputusan yang dibuat pada tahun 2022.
Menurut beliau, sebarang cadangan untuk mengembalikan peperiksaan ini perlu melalui kajian mendalam yang mempertimbangkan pelbagai sudut, bukan hanya satu aspek sahaja.
“Kita perlu sediakan pandangan keseluruhan KPM dan kita akan siapkan persiapan pandangan itu, ia tidak boleh dilihat dalam satu aspek sahaja dan (seharusnya) lebih besar.
“(Ini kerana) anak-anak kita bukan tikus makmal yang kita nak ulang kaji mereka, sekejap ada peperiksaan sekejap tidak ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KPM di sini hari ini.
Hal ini menjawab saranan oleh beberapa pihak, termasuk bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang mencadangkan pengembalian UPSR dan PT3.
Cadangan untuk menilai semula dasar pendidikan ini turut dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang menyarankan rombakan dasar ekoran masalah pelajar yang lemah dalam kemahiran membaca, menulis, dan mengira (3M).
Fadhlina menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang memperkukuhkan pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan memberikan latihan khusus kepada guru-guru. Kementerian juga sedang memberi fokus kepada pembangunan Kurikulum Persekolahan 2027 dan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu, yang turut mengambil kira input mengenai peperiksaan seperti UPSR.
UPSR yang mula diperkenalkan pada tahun 1988 bertujuan mengukur kemahiran asas seperti membaca, menulis, mengira, dan menaakul (4M), manakala PT3 menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2014 sebelum kedua-duanya dimansuhkan pada tahun 2022.