Ikuti Kami:

Anak 5 tahun senyap, rupa-rupanya ada ‘projek’ besar di tingkat atas.

Anak 5 tahun senyap, rupa-rupanya ada ‘projek’ besar di tingkat atas.

SEBAGAI ibu bapa, penting untuk mendidik anak menjadi kreatif terutamanya di usia kecil.

Namun, apabila terlebih kreatif, lain pula jadinya. Begitulah kisah tular Ayden, kanak-kanak berusia 5 tahun yang mencabut lantai kayu di kediamannya.

Ketika dihubungi mStar, Elida Bustaman, 52, yang merupakan ibu kepada Ayden memberitahu bahawa dia tidak perasan akan tindakan nakal tersebut pada mulanya.

“Selepas solat Zohor, kami sekeluarga makan tengah hari. Ayden memang tak makan sekali tapi dia senyap je di tingkat atas.

“Bila saya naik atas, saya nampak dia duduk seorang di bucu katil tapi tak nampak apa yang dia sedang lakukan.

“Saya datang dekat nak jenguk dia, sekali habis lantai kayu bilik tidur saya dia cabut,” ujar ibu kepada lima orang anak itu.

Tambah Elida lagi, ini bukan kali pertama Ayden melakukan perkara sedemikian dan sudah banyak kali dia membebel terhadap anaknya itu.

“Dah banyak kali dia buat, tapi kali ni paling besar dia cabut kayu tu.

“Pelik juga, nak kata dia minat main puzzle, Lego dia tak suka. Cabut kayu di lantai dia lebih tertarik.

“Dah banyak kali saya bebel kat dia, tapi tak makan saman. Saya pun sekarang dah berusia, nak marah lebih-lebih pun malas, kalau zaman abang kakak dia dulu saya lagi garang,” jelas Elida yang bekerja sebagai pegawai komunikasi.

“Dia bosan sikit la sewaktu PKP ni sebab selalu dia pergi tadika, sekarang ni kakak dia jadi cikgu tadika di rumah.”

Menurut Elida, dia telah mengajar Ayden untuk meletak semula kepingan kayu di tempat asalnya supaya tidak mendatangkan bahaya.

“Ayden letak balik elok-elok lepas dia cabut tu, tapi kayu tu longgar la sebab tiada gam di bawah.

“Selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan ni saya bercadang nak beli gam untuk tampal semula kayu yang tercabut,” ujar Nelida yang menetap di Petaling Jaya, Selangor.

Bercerita lebih lanjut mengenai anak bongsunya itu, Elida memberitahu bahawa Ayden agak bosan duduk di dalam rumah sepanjang tempoh PKP ini.

“Dia ni memang nakal dan tak duduk diam. Kakak-kakak dia selalu layan dia main kejar-kejar dalam rumah.

“Televisyen dia tak minat sangat, tapi dia lebih suka tengok cerita kanak-kanak di Youtube.

“Dia bosan sikit la sewaktu PKP ni sebab selalu dia pergi tadika, sekarang ni kakak dia jadi cikgu tadika di rumah,” ujar Elida dalam nada berseloroh.

Tweet yang dimuatnaik oleh Elida pad Ahad lalu itu sehingga kini telah mendapat 14,700 ulang kicau dan 21,000 tanda suka daripada netizen yang rata-ratanya mengaitkan perbuatan tersebut dengan diri sendiri.

“Dulu masa kecil pun buat macam ni juga sebab masa tu ingat nak buat kolam renang,” tulis seorang gadis.

“Dulu nak beli puzzle bangunan tu tak dapat, rumah makcik aku jadi mangsa,” ujar pengguna Twitter yang lain.

“Masa kecil takde gajet selalu main benda ni lepas tu pasang balik,” tambah netizen lain.

Sumber: Mstar

Komen
Loading...