
Amy Search telah menunjukkan magisnya di konsert solo pertama dengan persembahan bertenaga dan vokal yang mantap, memukau ribuan peminat yang hadir di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam Sabtu.
Konsert ini bukan hanya sekadar persembahan muzik, tetapi sebuah penghormatan kepada karya-karya Amy Search dan perjalanan hidupnya dalam dunia muzik.
Konsert Amy Search Magic ini adalah tribute kepada album solo beliau, yang berjudul Magic, yang diterbitkan pada tahun 1994.
Album ini adalah satu peristiwa penting dalam perjalanan muzik solo Amy Search, yang telah mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri muzik tanah air.
Vokal Amy Search, atau nama penuhnya Datuk Suhaimi Abdul Rahman, 66, mendapat pujian meluas pada malam itu, rata-rata berpendapat vokalnya lebih padu dan bertenaga berbanding konsert-konsert sebelumnya.
“Konsert ini adalah sangat penting sepanjang karier saya kerana ia merupakan konsert solo pertama saya sepanjang lebih 40 tahun aktif dalam industri muzik Malaysia,” kata Amy Search.
Selain mempersembahkan lagu-lagu dari album Magic, Amy Search turut membawa penonton mengimbau kembali perjalanan muziknya bersama kumpulan Search.
Salah satu momen paling istimewa adalah apabila Hillary Ang, gitaris utama Search, dijemput untuk berkongsi pentas bersama dalam segmen medley.
Lagu-lagu seperti Gadisku, Rozana, Fantasia Bulan Madu, dan Pawana menghidupkan kembali kenangan manis zaman kegemilangan Search.
Konsert ini turut diserikan dengan kehadiran dua lagi anggota Search, Nasir dan Man Kidal, yang hadir memberi sokongan padu kepada Amy Search.
Amy Search juga mempersembahkan lagu-lagu ikonik seperti Gita Rama Sita, Aku, Apa Saja, Suralaya Dalam D Major, Mengintai Kelawar, Ghairah, dan Kau Bukan Saduran.
Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu seperti Suatu Masa, Ku Di Halaman Rindu, Sejuta Wajah, Kau Kepala Sotong / Apache, Kongkang, Rentak Laguku, Kalimah Cinta, Tinggal Sepi, Aku Dah Bosan, Saat Yang Ku Idamkan, Kerja Gila, Tiada Lagi, dan diakhiri dengan lagu ikonik Isabella, yang masih kekal sebagai lagu simbolik bagi Amy Search.
Semangat dan dedikasi Amy Search pada malam itu membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus berkarya dan mencipta sejarah.