Amy Search Magic Konsert Solo: Ikon Rock Gegarkan Axiata Arena
- oleh Mohd Indera
- 4 bulan lalu

Penyanyi rock legenda tanah air, Datuk Amy Search, bakal mencipta detik bersejarah apabila menjayakan konsert solo pertamanya, Amy Search Magic Konsert Solo, di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April 2025.
Selepas empat dekad mendominasi industri muzik bersama kumpulan Search, Amy kini melangkah ke tahap baharu dengan konsert solo berskala besar yang diharapkan bakal menjadi momen epik dalam kerjaya seninya.
Dengan tema “Magic”, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa tetapi merupakan penghormatan kepada peminat setianya.
Amy berjanji untuk menampilkan kelainan dengan seleksi lagu yang mencerminkan perjalanan hidupnya – penuh suka duka, kenangan manis, dan emosi mendalam.
“Setiap lagu adalah simbol warna kehidupan saya, Konsert ini bukan hanya tentang muzik, tetapi juga tentang jiwa saya yang ingin saya kongsi bersama peminat.” katanya.
Penonton akan dibawa mengembara ke dalam karier Amy sepanjang lebih empat dekad, menyaksikan lagu-lagu hits seperti Isabella dan Fantasia Bulan Madu.
Barisan pemuzik pengiring yang terdiri daripada bakat terbaik dalam industri menjanjikan persembahan bertaraf tinggi.
Walaupun konsert ini dijayakan tanpa kumpulan Search, Amy menegaskan hubungan antara mereka kekal erat dan Nasir, Hillary, dan Man Kidal memberikan sokongan penuh kepada usaha solo ini.
Amy berharap konsert ini bukan sahaja memberikan hiburan tetapi juga inspirasi kepada pemuzik muda untuk terus memperjuangkan seni muzik tanah air.
Konsert ini turut mendapat sentuhan kreatif daripada Jennifer Thompson, seorang pengarah konsert yang disegani di Malaysia.
Semangat Amy yang tidak pernah luntur membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus berkarya dan mencipta sejarah.
Tiket untuk konsert ini boleh didapati bermula 5 Februari 2025 di laman web www.wowtix.com.my. dan harga tiket adalah seperti berikut:
RM188 (Cat 6 – Tiada Lagi)
RM288 (Cat 5 – Gita Rama Sita)
RM388 (Cat 4 – Kerja Gila)
RM538 (Cat 3 – Kamilah Cinta)
RM608 (Cat 2 – Saatku Idamkan)
RM788 (Cat 1 – Rock Royalty)
Dengan persediaan rapi, Amy Search Magic Konsert Solo dijangka menjadi acara yang sukar dilupakan.
Ini adalah peluang sekali seumur hidup untuk menyaksikan ikon rock tanah air menggegarkan Axiata Arena dengan persembahan memukau yang penuh magis.