Mohd Amiresa, atau pernah dikenali dengan nama Amir Pearl, kembali dengan single terbaru selepas sekian lama menyepi.
Penyanyi yang pernah mencipta fenomena dengan lagu hit Aku Tidak Bersalah kini bangkit dengan lagu terbarunya berjudul Teristimewa.
Lagu ini adalah hasil ciptaan Adi Priyo Sambodo, dengan lirik ditulis bersama Amiresa sendiri. Selain itu, ia turut mendapat sentuhan pemuzik-pemuzik hebat, termasuk Kidd (gitaris Search), Nasir (bassist Search), Pae Sembah Bumi (drummer), dan Firdaus (keyboardist).
Susunan muzik single ini pula hasil tangan Nasir (Search), dengan bantuan daripada Dato’ Awie Pamalo, Adi Priyo, dan Chan Che Enn, menjadikan Teristimewa sebuah karya yang sarat dengan elemen profesional dan penuh jiwa.
Menurut Amiresa, single ini adalah luahan penghargaan dan kasih sayang kepada peminatnya.
“Lagu ini adalah hadiah kepada mereka yang tidak pernah berhenti memberi sokongan walaupun saya menyepi. Ia menggambarkan perjalanan hidup saya, penuh liku tetapi tetap ada sinar harapan,” ujarnya.
Amiresa juga menzahirkan rasa bangga dapat bekerjasama dengan barisan pemuzik berbakat yang banyak menyumbang kepada pembikinan lagu ini.
“Mereka semua adalah nama besar dalam industri, dan saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bekerja dengan mereka,” katanya lagi.
Lagu Teristimewa menampilkan gabungan melodi yang indah dan lirik yang penuh emosi, mencerminkan perjalanan kehidupan Amiresa dalam mencari kekuatan untuk bangkit semula.
Dengan kembalinya Amiresa bersama Teristimewa, para peminat berharap ini menjadi titik permulaan baru yang lebih gemilang dalam karier beliau.